KUALA LUMPUR – Penampilan pertama Muhammad Ziyad Zolkefli di pentas Sukan SEA bersama atlet normal cukup manis dan bermakna apabila memenangi pingat gangsa dalam acara lontar peluru, malam tadi.
Keputusan itu cukup membanggakan buat juara dunia sukan para itu apabila terus tampil dengan aksi konsisten sejak memenangi emas di Sukan Paralimpik Rio, Brazil 2016.
Ziyad yang mendapat sorakan dan tepukan daripada ribuan penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sentiasa tampil bersemangat ketika melakukan setiap lontaran.
Semangat juang yang ditunjukkan Ziyad menyaksikan dia memenangi gangsa dengan catatan 17.12m pada percubaan kedua, sementara emas dan perak diraih atlet dari Thailand, Promrob Juntima (17.42m) dan Thawat Khachin (17.15m).
Lebih istimewa apabila isterinya yang masih dalam pantang, Zafirah Md Nasir dan anak Zuhairah Zafra, 22 hari turut menyaksikan dia mencipta kemenangan.
“Alhamdulillah, ini adalah sejarah buat atlet para kerana memenangi gangsa di Sukan SEA. Saya sudah cuba yang terbaik dan 17.12m sudah cukup buat saya.
“Ini hadiah untuk keluarga, isteri dan anak yang baru berusia 22 hari kerana memberikan sokongan padu,” kata Ziyad. – BH Online