KUALA LUMPUR – Hasrat peminat tempatan untuk menyaksikan sendiri Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin beraksi lincah dalam Sukan SEA Ke-29 bulan ini nampaknya tidak kesampaian.
Ia susulan tindakan baginda mengumumkan untuk menarik diri daripada menyertai acara berkuda lasak atau endurance yang bakal berlangsung di Terengganu International Park, Lembah Bidong, dekat Kuala Terengganu.
Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo yang memaklumkan bahawa Sultan Mizan mengesahkan menarik diri daripada acara kegemaran baginda tersebut.
Langkah itu dibuat atas faktor kuda yang tidak berada dalam keadaan baik. Sultan Mizan sebelum ini berada dalam kontinjen Malaysia bagi temasya dwitahunan itu menerusi sukan ekuestrian acara kuda lasak.
“Kami dimaklumkan Sultan Mizan berasakan adalah lebih baik untuknya menarik diri demi kebaikan pasukan. Baginda sangat teruja untuk bersaing dengan menjalani latihan setiap hari bermula seawal jam lima dan enam pagi.
“Tapi baginda juga perlu membuat keputusan terbaik demi pasukan Malaysia,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan senarai akhir atlet dan pegawai negara pada temasya KL2017 di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata, keputusan yang dilakukan oleh Sultan Mizan tersebut pastinya adalah satu keputusan yang agak berat untuk dilakukan baginda sendiri.
“Ini adalah sebahagian daripada cabaran dalam sukan. Saya percaya ia adalah keputusan yang sukar untuknya kerana sudah lebih setahun baginda gigih menjalani latihan untuk sukan serantau ini,” katanya.
Sebelum ini Sultan Mizan serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dijangka menjadi tumpuan ramai apabila masing-masing pada 22 April lalu mengesahkan penyertaan pada KL2017.
Khairy yang beraksi menerusi acara polo bakal mencipta sejarah selaku menteri kabinet pertama di negara ini mengambil bahagian dalam Sukan SEA malah mampu menjadi daya tarikan KL2017. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA