ALOR SETAR – Sebuah tadika musnah 90 peratus dalam kebakaran di Jalan Sungai, Lunas, Kulim, kira-kira 12.40 tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.43 tengah malam sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
“Seramai 11 anggota beserta dua jentera pemadam api dan jentera Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kulim dikerah ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba, usaha memadam kebakaran dijalankan dan kebakaran telah mengakibatkan bangunan tadika tersebut musnah 90 peratus, namun tiada mangsa yang terlibat kerana tiada pelajar ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata pihaknya turut dibantu enam anggota dari BBP Kulim Hi-Tech dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas, PBS Juru, PBS Sungai Puyu dan PBS Sungai Petani.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi tamat pada 3.01 pagi. Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – BERNAMA