KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta supaya menunggu hasil siasatan dan tidak terburu-buru membuat kesimpulan berhubung insiden pelanggaran membabitkan kapal perang Amerika Syarikat dengan sebuah kapal dagang di perairan Teluk Ramunia.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata oleh itu tidak perlu bagi mana-mana pihak membuat spekulasi mengenai kemalangan itu yang mengakibatkan 10 kelasi dilaporkan hilang dan lima lagi cedera.
“Kami tidak mengeluarkan apa jua kenyataan yang bersifat spekulasi. Kita perlu menunggu penyiasatan yang konklusif mengenai apa yang sebenarnya berlaku sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Apresiasi Kebudayaan 2017 anjuran Institut Diplomasi dan Hal Ehwal Luar di sini hari ini.
Reezal Merican mengulas mengenai pelanggaran di antara kapal pemusnah peluru berpandu USS John S. McCain dan sebuah kapal tangki minyak kira-kira 4.5 batu nautika dari Teluk Ramunia pada 5.30 pagi semalam.
Hari Apresiasi Kebudayaan anjuran institut itu merupakan satu platform untuk para tetamu dan peserta mempelajari dan menghargai perbezaan budaya, merapatkan jurang kebudayaan serta mempromosikan diplomasi kebudayaan. – BERNAMA