Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Curi Besi Perancah, Penganggur...

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah...

KKD Akan Dapatkan Maklumat...

Ulu Tiram : Kementerian Komunikasi dan Digital akan mendapatkan maklumat sebelum membuat sebarang...

Pulau Pinang Tak Cukup...

GEORGE TOWN: Cadangan untuk mendapatkan hakmilik tanah seluas 323 hektar bagi projek perluasan...

Bimbing Orang Awam Kaedah...

KUALA LUMPUR - Orang awam yang menjalankan ujian kendiri Covid-19 perlu dibimbing oleh...

Tanggung Kesalahan Seumur Hidup Jika Menipu!

KUALA LUMPUR – Individu yang membuat laporan palsu kehilangan kad pengenalan (IC) kononnya diragut dan disamun bagi mengelak membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bakal menanggung rekod jenayah seumur hidup, apabila mereka didakwa di mahkamah dan didapati bersalah.

Peguam, Zulkifli Awang berkata individu itu akan terpalit dengan rekod jenayah walaupun dia hanya dijatuhi hukuman denda oleh mahkamah atas perbuatannya itu.

“Ramai individu yang hilang IC ‘mereka’ cerita, membuat laporan palsu kepada polis mendakwa diragut, disamun, dirompak, hanya kerana tidak mahu membayar denda kepada JPN dan apabila pihak polis mendapati keterangan mereka tidak konsisten dan menimbulkan curiga, mereka akan didakwa di mahkamah kerana membuat laporan palsu.

“Di sinilah risiko yang bakal dihadapi individu ini apabila mahkamah mendapati mereka bersalah dan dijatuhi hukuman walaupun denda sahaja, akan terpalitlah rekod jenayah yang akan ditanggung seumur hidup,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Zulkifli berkata rekod jenayah itu menyebabkan individu terbabit berdepan kesan jangka panjang bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga keluarga apabila sukar untuk membuat pinjaman bank atau menjadi penjamin kepada anak-anak bagi membuat pinjaman pendidikan.

Jelas Zulkifli, pihak pemberi pinjaman kebiasaannya akan memeriksa rekod jenayah untuk memastikan seseorang individu berkenaan boleh dipercayai sebelum meluluskan permohonan mereka.

“Lebih malang, individu ini turut menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan dan juga pasukan keselamatan, misalnya,” katanya.

Zulkifli berkata, mana-mana individu yang didapati membuat laporan palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bulan lepas, sepasang kekasih masing-masing didenda RM1,500 dan RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini kerana membuat laporan palsu kehilangan IC kononnya disamun.​​​​

Hasil siasatan polis mendapati kejadian samun itu tidak berlaku sebaliknya pasangan itu kehilangan IC kerana kecuaian sendiri dan membuat laporan palsu bagi mendapatkan IC gantian tanpa perlu membayar denda kepada JPN.


Peguam Ahmad Ridza Mohd Noh pula berkata hukuman penjara atau denda kepada pesalah yang membuat laporan palsu kehilangan IC adalah wajar mengambil kira kes seumpama itu yang kerap berlaku di negara ini.

“Segelintir masyarakat kita ini sudah naik lemak, asyik mahukan perkara percuma sahaja. Ini tidak boleh diterima, mereka perlu diberi pengajaran,” tegasnya.

Ahmad Ridza berkata IC adalah dokumen pengenalan diri yang penting untuk memberitahu identiti dan kerakyatan individu dan kehilangan IC mendedahkan seseorang kepada kerugian dan keselamatan diri apabila mereka yang tidak bertanggungjawab memanipulasi, menipu menggunakan IC orang lain untuk faedah mereka sehingga boleh menyebabkan kebankrapan.

“Saya nasihatkan jagalah IC sebaiknya dan jika berlaku kehilangan akibat kecuaian diri sendiri, bertanggungjawablah dengan membayar denda di JPN. Langkah itu jauh lebih selamat daripada membuat laporan palsu dan akibatnya terpaksa merengkok dipenjara atau membayar denda lebih tinggi di mahkamah yang merugikan seperti pepatah Inggeris ‘a penny wise a pound foolish’ (terlalu berhati-hati dengan perkara tidak penting namun cuai dengan sesuatu yang penting),” katanya.

Untuk rekod, bayaran bagi kehilangan IC kali pertama adalah RM100, kehilangan kali kedua RM300 dan kehilangan kali ketiga dan seterusnya RM1,000.

Pengecualian kadar bayaran diberikan kepada orang kurang upaya, fakir miskin, warga emas berumur 60 tahun ke atas, mangsa bencana, kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut serta remaja warganegara Malaysia berusia bawah 18 tahun.

Rekod JPN menunjukkan kadar kehilangan IC akibat kecuaian dari 2010 hingga September 2015 adalah 1,356,135 kes. – BERNAMA

Kategori