KOTA BHARU – Teknologi kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dijangka mampu membantu mengawal banjir kata Presiden Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) Datuk Sr Dr Mohd Zaid Abdullah.
Beliau berkata berdasarkan bentuk muka bumi hasil pelan pemetaan awal yang dibuat menggunakan UAV, alat itu mampu membuat jangkaan awal terhadap kawasan takungan air serta legeh sungai di kawasan hulu.
Selain itu, pihaknya turut menggunakan teknik persekitaran maritim bagi mengukur paras air sungai sebelum dan semasa banjir berlaku.
“Pada hujung tahun lepas, kita dah buat pemetaan menggunakan teknik ini di Sungai Aring dan Sungai Lebir di Gua Musang dan datanya telah diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.
“Hasil data tersebut, JPS boleh membuat perancangan sama ada untuk mendalamkan sungai atau membina benteng bagi program tebatan banjir,” katanya kepada pemberita selepas Demostrasi dan Pameran UAV Sempena Workshop PEJUTA 2017 di Padang Perdana di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Brig Jen Dr Mohd Zambri Mohamad Rabab.
Mohd Zaid berkata kelebihan menggunakan UAV ini adalah kos yang lebih murah, hasil ukuran yang tepat serta memendekkan masa berbanding teknik konvensional menggunakan kapal terbang ataupun helikopter.
“Sekarang ini banyak syarikat juru ukur mula menggunakan teknologi ini kerana kosnya yang rendah. Mereka boleh dapatkan sebuah UAV dengan harga minimum RM40,000 dan dilengkapi dengan perisian komputer untuk tujuan pemetaan, selain menjimatkan masa projek kepada tiga bulan berbanding lebih setahun menggunakan teknologi ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zambri berkata pengguna UAV perlu mendapatkan permit penerbangan daripada JUPEM, walaupun gajet itu digunakan sebagai hobi.
Permit itu perlu dipohon memandangkan terdapat lebih 2,000 kawasan larangan, tempat larangan dan sasaran penting yang telah digazetkan oleh kerajaan untuk tujuan keselamatan, katanya.
“Di bawah Akta 4 dan 7 Akta Rahsia Rasmi, UAV yang diterbangkan tanpa mendapat permit boleh dirampas oleh tentera ataupun polis dan penggunanya boleh dipenjarakan maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan,” katanya. – BERNAMA