PERTEMPURAN darat yang sengit dilaporkan berlaku di Utara Rakhine bermula pagi tadi. Tentera Myanmar yang mula menghantar tentera tambahan sejak dua minggu lalu, memulakan serangan ke beberapa kawasan yang dituduh menjadi kubu pengganas Rohingya.
PBB minggu lalu sudah memberi amaran, bahawa pergerakan tambahan Tentera Myanmar ke kawasan tersebut, bakal mencetuskan ketegangan baharu.
Sejak krisis 2012, lebih 1000 penduduk Muslim Rohingya dibunuh dalam pertempuran dengan penganut Buddha yang disokong tentera. Manakala 800 ribu dilaporkan melarikan diri ke Bangladesh dan Thailand.
Walaupun diberi amaran oleh PBB, Kerajaan Myanmar tetap meneruskan operasi pembersihan di Utara Rakhine. Minggu lalu, PBB sudah melahirkan rasa bimbang kehadiran tentera tambahan di Utara Rakhine.
Selain itu, sejak dua minggu lalu, PBB turut memberi amaran keselamatan terhadap 300 aktivis kemanusiaan di wilayah bergolak itu agar menjauhkan diri dari kawasan krisis.
PBB mendedahkan maklumat, penduduk Buddha Myanmar menyimpan sentimen anti aktivis kemanusiaan yang dituduh menyokong penduduk Rohingya.
Bagi Kerajaan Myanmar, penduduk Rohingya dianggap pendatang dari Bangladesh dan tidak dianggap sebagai warganegara. Fakta yang ditentang masyarakat Rohingya yang mendakwa sudah berada di Rakhine sejak abad ke 17.
Keadaan di Utara Rakhine dianggap sudah tidak terkawal. Visual serangan tentera Myanmar yang dibalas dengan tindakan penduduk Muslim melawan menggunakan parang dan lastik mula tersebar dengan meluas.
Myanmar mendakwa, tindakan serangan itu sebagai langkah balas kerana penduduk Islam dilaporkan menyerang pasukan polis sempadan terlebih dahulu. Namun, seperti serangan bulan lalu, tiada bukti dikemukakan. – MYNEWSHUB.CC