ROGOL, bunuh, rompak, mencuri… Semua tu dah macam perkara biasa yang sering berlaku di negara kita. Penjenayah pula semakin hari semakin bijak kreatif.
Baru-baru ini lagi lah, seorang perempuan muda yang dilihat seperti berusia dalam usia 20-an telah menyamun sebuah kedai emas di kompleks Bangi Gateway, Selangor pada pukul 1.30 tengah hari semalam.
Pihak polis sedang giat menjalankan operasi bagi mencari si gadis yang ‘panjang tangan’ itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihak polis telah menerima laporan tentang kejadian tersebut daripada pekerja kedai emas berkenaan.
“Pekerja barang emas itu telah buat anggaran bahawa perompak itu berusia dalam lingkungan 20-an atau lebih kerana wanita terbabit kelihatan agak muda.
“Pada mulanya dia datang berpura-ura ingin tahu berapakah harga barangan kemas tersebut sebelum membawa lari salah satu gelang yang dicubanya daripada kedai itu.
“Dia kemudian memulangkan satu daripadanya dan ketika pekerja terbabit letak semula untuk membuat kira-kira, suspek tiba-tiba bertindak melarikan diri bersama gelang kedua itu,” katanya.
Kerugian yang dialami oleh kedai emas tersebut dianggarkan dalam RM10,000.
“Kami sudah mula mencari wanita tersebut. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Kes rompakan ini mula tular apabila pemilik kedai tersebut memuat naik video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi akaun Facebooknya.
Ramai netizen cuba untuk berfikiran baik apabila si perompak adalah wanita. Ada yang kata mungkin dia merompak kerana kesempitan hidup atau apa sajalah.
Pantang ya netizen ni kalau tengok yang muka cantik sikit. Tapi ada ramai juga yang mengecam tindakan wanita ini.
Jangan ingat perompak sekarang hanya lelaki. Perempuan pun ada yang sudah ‘berjinak’ dalam aktiviti jenayah ini. Hati-hati semua. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah