PENYERANG bola sepak skuad bawah 22 tahun (B-22), N. Thabalan kini menempa nama di kalangan peminat sukan bola sepak tempatan dan seluruh Asia Tenggara.
Namanya kini disebut-sebut sebagai wira yang membawa Malaysia mara ke perlawanan akhir Sukan SEA ke-29 KL2017 selepas tandukannya berjaya menewaskan Indonesia dengan jaringan 1-0 semalam.
Menerusi temu bual dengan akhbar The Star sebelum ini, Thanabalan pernah menyuarakan hasrat ingin menempa kejayaan bersama rakan sepasukannya untuk meraih pingat emas buat rakyat Malaysia.
Selain itu, Thanabalan, 22, turut mendedahkan dia ingin memberikan prestasi terbaik bagi membantu memberikan kehidupan yang lebih selesa buat keluarganya.
“Saya nak berikan persembahan terbaik dan menang untuk Malaysia. Saya percaya dengan prestasi terbaik ianya boleh menambah baik profil kerjaya saya selain memberikan kehidupan yang lebih selesa buat keluarga,” katanya.
Thanabalan merupakan satu-satunya yang menyara ahli keluarganya sejak empat tahun lalu apabila  bapanya, S. Nadarajah lumpuh separuh badan selepas terlibat kemalangan jalan raya pada 2013.
Thanabalan kini mengambil alih tangungjawab bapanya dengan menyara keluarganya yang terdiri daripada ibu, V. Thirusundari, 53, yang merupakan seorang suri rumah dan dua adiknya Keeteswaran, 18, dan Keerthikaa, 13.
Memulakan kerjaya dalam sukan bola sepak sejak empat tahun lalu dengan menyertai pasukan Negeri Sembilan dan kini Thanabalan dipinjamkan bermain untuk pasukan Felcra FC.
“Ia memang sangat sukar untuk mengambil alih peranan menyara keluarga memandangkan saya tidak memperoleh banyak sebagai pemain muda. Kini sedikit demi sedikit kewangan sudah bertambah baik dan tujuan utama saya kini adalah ingin memberikan kehidupan yang lebih baik buat keluarga, “ katanya yang merupakan anak jati Seremban.
Sepanjang temasya KL2017, Thanabalan telah berjaya menjaringkan sebanyak empat gol.
Selasa ini, Malaysia akan berhadapan Thailand bagi merebut pingat emas dalam acara ibu segala pingat itu.
Perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Shah Alam bermula jam 8.45 malam. – MYNEWSHUB.CC