SETELAH seminggu dikeluarkan, kini aiskrim McFlurry yang digilai ramai sudah ditamatkan menunya. Mungkin ada yang sedih sebab masih belum berkesempatan merasai aiskrim special ini.
Menerusi laman Facebooknya, McDonald’s telah memuatnaik satu posting yang rasa-rasanya boleh membuatkan ramai netizen kecewa dan sedih. Mana taknya, baru seminggu dikeluarkan, menu McFlurry Durian D24 terpaksa ditamatkan kerana tiada stok durian untuk membuat pes aiskrim tersebut.
Menurut McDonald’s, jualan untuk aiskrim ini adalah lima kali ganda lebih banyak daripada yang dijangkakan. Oleh kerana mereka menggunakan isi durian D24 yang sebenar, mereka sudah tidak ada stok tambahan untuk tahun ini.
“Oleh kerana produk ini dibuat daripada buah Durian D24 yang sebenar, kami tidak akan dapat memperoleh stok tambahan tahun ini. Walau bagaimanapun, kami berjanji untuk membawanya semula pada 2018,” tulisnya.
Sebelum ini, kecoh di laman-laman sosial apabila restoran makanan segera itu mahu mengeluarkan menu baru yang berasaskan raja buah itu. Ramai yang menanti-nantikan kelainan yang dibuat pada kali ini. Yalah.. siapa yang tak sukakan duriankan..
Rata-rata netizen melahirkan rasa sedih kerana mereka agak ‘kempunan’ tidak dapat merasai menu ini yang lebih banyak mendapat sambutan daripada menu McFlurry yang lain.
Wahh..nampaknya durian benar-benar membuktikan dirinya raja segala buah di negara ini. Namun, jangan sedih, menu ini akan kembali lagi pada tahun hadapan. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim