BINTANG Hollywood, Cara Delevingne tidak kisah membelanjakan sebanyak RM565.57 juta demi menyambut hari lahir yang ke-25 bersama 20 orang sahabat baiknya.
Bintang filem Valerian and the City of a Thousand Planets ini bakal menjangkau usia 25 tahun pada tanggal 11 Ogos ini merancang untuk mengadakan percutian istimewa tersebut di Mexico.
Selain itu, Kendall Jenner, Suki Waterhouse, Georgia May Jagger dan Jamie Winstone dikhabarkan akan turut serta dalam percutian tersebut.
Memetik sumber, Cara mendapat idea tersebut sebaik selesai mempromosi filem lakonannya di negara itu, baru-baru ini.
Cara memberitahu ketika percutian itu, dia dan rakannya bakal melakukan pelbagai aktiviti yang membolehkan mereka menikmati keindahan alam flora seperti berkayak, meneroka hutan dan beberapa aktiviti lain lagi.
Tambah model ini lagi, percutian itu khusus buat wanita sahaja dan dia juga ingin meraikan usaha kerasnya selama dia bekerja bersama insan tersayang.
Gadis jelita kelahiran London ini sememangnya cukup dikenali dengan menganjurkan parti liar selain merancang percutian yang menarik buat rakan-rakannya.
Pada jamuan hari lahirnya tahun lepas, Cara mendapat kejutan di mana seorang model bogel melompat keluar daripada kek.
Selain itu, Suki pernah menganjurkan parti bagi menyambut ulang tahun pelakon ini dalam sebuah kelab penari bogel yang terletak di Kanada pada tahun 2015.
Mengenai perkembangan terbaru Cara, sumber mengatakan dia dan kakaknya telah membeli kediaman mewah milik pelakon, Jared Leto di Los Angeles yang berharga lebih kurang RM8.48 juta. – MYNEWSHUB.CC/Amy Maizura