ROME – Tiga orang maut dalam beberapa kemalangan ketika ribut kencang membadai utara Itali, semalam kata polis.
Ketika ini fenomena gelombang panas berpanjangan yang melanda negara ini semakin berakhir.
Seorang lelaki Belgium, 41, maut akibat dihempap pokok ketika berkhemah di kem musim panas di Rainbow Gathering lembah Tramontina di wilayah Friuli, timur laut Itali.
Mangsa kedua terbunuh apabila sebatang pokok tercabut akibat angin kuat dan menimpanya di festival di Marzia, Dolomites.
Seorang pendaki pula mati disambar petir ketika mendaki gunung di kawasan sama, iaitu Marmolada.
Sabtu lalu, seorang wanita maut apabila ribut kencang menyebabkan tanah runtuh di pinggir pusat peranginan luncur salji Cortina d’Ampezzo.
Khamis lalu, dua pesara maut di tengah dan selatan Itali selepas terperangkap dalam kebakaran hutan berpunca daripada gelombang haba dan kemarau teruk sejak beberapa minggu lalu.
Menurut pakar cuaca, taburan hujan di seluruh Itali pada Julai menurun 50 peratus dan suhu tertinggi mencecah paras sekurang-kurangnya 40 darjah Celsius di seluruh negara itu selama seminggu. – AFP/BH ONLINE