SHAH ALAM – Polis akan bertindak tegas terhadap mereka yang cuba menimbulkan kekecohan pada perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata polis akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar Stadium Shah Alam, venue perlawanan akhir antara Malaysia dan Thailand, esok malam.
“Kawalan keselamatan akan diperketatkan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku, polis juga tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang cuba mencetuskan provokasi sepanjang berlangsungnya perlawanan.
“Polis akan melakukan pemeriksaan badan terhadap setiap penyokong di semua pintu masuk stadium, polis tidak akan teragak-agak untuk menahan mana-mana penyokong yang didapati membawa bahan larangan seperti senjata tajam dan bahan letupan mengikut Akta bahan Letupan 1957 dan Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Pemetik api, payung, botol minuman juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke dalam stadium dan akan dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mazlan turut menasihatkan peminat bola sepak agar merancang perjalanan mereka dan hadir awal ke stadium bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan di pintu masuk stadium.
Pintu masuk akan dibuka seawal pukul 4 petang dan para penyokong Thailand dibenarkan memasuki stadium melalui Pintu A manakala para penyokong Malaysia melalui Pintu B, C dan D.
Malaysia layak ke perlawanan akhir bagi merebut ibu segala pingat KL2017 itu selepas menundukkan Indonesia 1-0 sementara Thailand mengalahkan Myanmar dengan jaringan yang sama. – BERNAMA