KUALA LUMPUR – Setiap kali 31 Ogos tiba, nama Tun V. T. Sambanthan, tokoh yang beperanan besar dalam memperjuangkan kemerdekaan dan menyatukan masyarakat majmuk di negara ini pasti bermain di bibir rakyat.
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2017 pada Khamis yang mengimbas kembali nostalgia 1957, nama pemimpin masyarakat India ini menjadi antara sebutan banyak pihak termasuk penduduk Kampung Tun Sambanthan di Ayer Tawar, Perak.
Terletak 14 kilometer dari pekan Sitiawan, nama kampung itu mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana ia berlatarbelakangkan nama tokoh kemerdekaan, mendiang Tun V.T. Sambanthan atau nama sebenarnya Veerasamy Thirunyanasambanthan.
Mempunyai hampir 98 peratus masyarakat India, Kampung Tun Sambanthan wujud kira-kira 45 tahun dengan jumlah penduduknya kini lebih 700 orang di samping sebuah keluarga India Muslim dan dua keluarga Cina.
Ketua kampung itu, A. Jeganathan, yang merupakan anak jati Ayer Tawar berkata empat dekad dahulu, Sambanthan mengagihkan sebahagian lot tanah Estet Ulu Ayer Tawar, sebuah estet ladang getah, melalui syer koperasi Persatuan Koperasi Kewangan dan Tanah Kebangsaan (NLFCS ) kepada penduduk setempat.
“Daripada lebih 242.8 hektar tanah estet, sebanyak 26.3 hektar dibeli dan diagihkan kepada 220 lot (suku ekar setiap lot) dan lahirlah Kampung Tun Sambanthan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Jeganathan, 51, berkata tujuan asal pengagihan lot itu adalah bagi membantu masyarakat India meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti perladangan, namun apabila skim perumahan diperkenalkan, rata-rata memilih untuk membina rumah atas lot berkenaan di samping menjalankan aktiviti pertanian.
“Komuniti di sini sentiasa mengingati jasa Tun Sambanthan yang mencetuskan idea mewujudkan kampung ini dan membantu masyarakat India mempunyai aset masing-masing,” katanya.
Sependapat dengan Jeganathan, seorang peladang di Kampung Kinta Valley, Batu Gajah, Perak, B. Kaneapa, 66, berkata sumbangan presiden kelima MIC itu kepada komuniti India amat besar.
“Saya masih ingat ketika berumur 13 tahun, Tun Sambanthan datang ke Batu Gajah dan dalam satu perhimpunan khas yang diadakan pada masa itu, beliau berjanji akan membeli dan mengagihkan tanah daripada estet milik orang Inggeris kepada penduduk sana melalui syer NLFCS.
“Beliau mengotakan janji tersebut…29.1 hektar daripada estet itu diagihkan dan menjadi hak milik generasi yang seusia ibu bapa saya pada ketika itu,” katanya.
Kaneapa, yang bermastautin di Batu Gajah bersama anggota keluarganya, berkata ada yang membina rumah di tanah diagihkan manakala sebahagian lagi menanam pokok kelapa sawit sebagai kelangsungan hidup.
Jika anak muda kini lebih mengenali Sambanthan sebagai tokoh kemerdekaan sebaris dengan Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Tan Cheng Lock, masyarakat India di luar bandar pula mengenali beliau sebagai tokoh pembangunan komuniti India.
Mereka mungkin masih ketinggalan jauh di belakang jika tiada penglibatan tokoh itu dalam membangunkan ekonomi dan taraf hidup mereka, kata Kaneapa.
Kematian Sambanthan pada 18 Mei 1979 ketika berusia 60 tahun akibat penyakit jantung merupakan kehilangan besar kepada negara dan masyarakat India khususnya.
Benar seperti peribahasa ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’, begitulah nama dan sumbangan Tun V.T. Sambanthan yang akan diingati sampai bila-bila. – BERNAMA