KUALA LUMPUR – DAP mahu Presiden dan Ulama PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipanggil memberi keterangan kepada SuruÂhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tragedi Memali pada tahun 1985 dalam usaha parti itu menyelamatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa, Presiden PAS perlu memberi keterangan tentang impak amanat beliau itu keatas tragedi yang mengorbankan banyak nyawa penduduk kampung di Baling, Kedah tersebut.
“Kita juga mahu tahu bagaimana dia (Abdul Hadi) dapat “reconcile” amanat itu dengan hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini,” dakwanya dalam satu kenyataan bersentimenkan politik hari ini.
Kit Siang turut membangkitkan kandungan Amanat Hadi tersebut yang didakwa menyentuh tentang jihad bagi mengaitkan Presiden PAS dengan tragedi berdarah berkenaan.
Beliau dalam pada itu mendakwa Abdul Hadi sejak menjadi Presiden PAS melakukan perkara yang salah kerana tidak mematuhi persefahaman yang pernah dicapai PAS dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup.
Akhbar hari ini melaporkan, kerajaan bersedia menubuhkan RCI bagi menyiasat tragedi berdarah Memali pada 19 November 1985 di Baling, Kedah.
Respons itu dibuat susulan desakan PAS supaya sebuah RCI dibentuk bagi menyiasat insiden tersebut yang didakwa membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.
Isu Memali muncul kembali apabila Mahathir yang kini bersengkongkol dengan DAP menyalahkan penduduk kampung yang maut dalam tragedi itu sewaktu menjawab soalan peserta forum Nothing to Hide 2.0 baru-baru ini hingga menimbulkan pergaduhan besar.
Ironinya, sebelum Mahathir menyertai pembangkang, pemimpin pembangkang yang kini membarisi Pakatan Harapan terutama dari PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) sering mengaitkan Tragedi Mamali sebagai angkara Mahathir. – MYNEWSHUB.CC