KUALA LUMPUR – Perkhidmatan KTM Komuter bagi kedua-dua laluan Batu Caves-Tampin/Pulau Sebang dan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim mengalami gangguan berikutan sebuah tren kargo tergelincir di KM386.900 iaitu di antara Stesen Kuala Lumpur dan Kepong di sini awal pagi tadi.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataannya berkata kejadian 1.32 pagi itu menyebabkan satu daripada landasan tersebut terhalang.
“Berikutan insiden ini, perkhidmatan tren KTM Komuter akan beroperasi menggunakan satu landasan di antara KL Sentral dan Kepong hari ini dan Khamis sehingga Ahad, yang menyebabkan perkhidmatan bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang beroperasi dengan kekerapan di antara 45 dan 60 minit.
“Perkhidmatan tren bagi laluan Batu Caves-Tampin/Pulau Sebang-Batu Caves pula akan beroperasi dengan kekerapan 30 hingga 60 minit bermula hari ini hingga Khamis ini,” kata KTMB.
Berikutan itu, kedua-dua landasan di antara Kuala Lumpur dan Kepong akan ditutup untuk kerja-kerja pengalihan gerabak yang tergelincir menggunakan tren pada esok dan Rabu ini.
KTMB berkata perkhidmatan komuter bagi laluan Tanjung Malim-Kepong-Tanjung Malim dan Pelabuhan Klang-KL Sentral-Pelabuhan Klang pula akan beroperasi dengan kekerapan 30 minit pada esok dan Rabu ini.
“Penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke KL Sentral boleh menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di Stesen Sungai Buloh dan penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Tanjung Malim boleh menggunakan MRT SBK di stesen MRT Muzium Negara ke Stesen Sungai Buloh,” katanya.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan bas akan disediakan untuk membawa penumpang dari Segambut ke KL Sentral dan sebaliknya.
Sementara itu, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi perjalanan ke Utara dari Gemas dan KL Sentral akan bermula di Stesen Sungai Buloh dan penumpang dari Stesen KL Sentral akan dibawa ke Stesen Sungai Buloh menggunakan MRT di Stesen Muzium Negara bagi perjalanan esok dan Rabu.
Perkhidmatan ETS bagi perjalanan ke Selatan dari Ipoh, Butterworth dan Padang Besar pula tamat di Stesen Sungai Buloh dengan penumpang akan meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral menggunakan MRT di Stesen Sungai Buloh.
Perkhidmatan ETS nombor 9525 (Padang Besar-Gemas) pada 7.40 malam akan tamat di Stesen Sungai Buloh dan penumpang akan dibawa dengan bas ke Stesen KL Sentral bagi meneruskan perjalanan ke destinasi dengan menggunakan perkhidmatan tren di stesen itu.
Bagi perkhidmatan ETS nombor 9520 (Gemas-Padang Besar) pada 9.10 malam, ia akan tamat di Stesen KL Sentral dan penumpang akan menaiki bas ke Stesen Sungai Buloh untuk meneruskan perjalanan ke destinasi dengan menggunakan tren.
Menurut kenyataan itu, KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan perkhidmatan dijangka kembali beroperasi seperti biasa pada 28 Ogos (Isnin) depan.
KTMB memohon maaf berikutan masalah itu dan meminta orang ramai menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-22671200 dan melayari laman sesawang rasmi KTM Berhad di www.ktmb.com.my, facebook KTM Berhad serta twitter @ktm_berhad untuk maklumat terkini. – BERNAMA