MAKKAH – Setiap set tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) perlu diselenggara sepanjang tahun walaupun hanya beroperasi untuk tempoh yang terlalu singkat iaitutujuh hari dalam setahun.
Ia bagi memastikan pengangkutan itu dapat berfungsi dengan sempurna tanpa sebarang masalah yang mungkin mengganggu pergerakan jemaah haji terutamanya dari Arafah ke Mudzalifah yang merupakan waktupuncak penggunaan tren itu.
Tanggungjawab menjaga dan memelihara 16 set tren yang terlibat bagi musim haji kali ini digalas jurutera Syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) yang mana rata-rata mereka berasa sangat bertuah kerana diberikan kepercayaan untuk melaksanakan tugas itu.
Ketua jurutera di depoh penyelenggaraan tren MMMSL Ahmad Fitry Ramlan berkata terdapat 19 jurutera Prasarana yang berada di Tanah Suci yang bertanggungjawab menyelenggara kesemua tren tersebut merangkumi pelbagai aspek elektrikal dan mekanikal.
Katanya setiap set tren diselenggara secara berkala iaitu setiap minggu bagi penyelenggaraan asas, setiap tiga bulan untuk penyelenggaraan menyeluruh dan setiap setahun bagi penyelenggaran yang lebih terperinci dan menyeluruh.
“Setiap penyelenggaraan tertumpu kepada aspek dan bahagian tertentu seperti penetapan brek, penyambungan dalaman, bahagian mekanikal dan sebagainya.
“Selain itu, satu lagi penyelenggaraan yang dipanggil pemeriksaan prahaji turut dilakukan sebelum operasi pada musim haji yang mana ia memfokuskan secara keseluruhan semua penyelenggaraan berkala tadi,” katanya ketika ditemui media Malaysia di depoh penyelenggaraan tren MMMSL di sini, Ahad.
Katanya, sistem brek, system tarikan dan penghawa dingin adalah antara komponen kritikal yang paling diberi perhatian.
“Apabila kesemua tren dapat beroperasi dengan jayanya tanpa sebarang masalah pada musim haji nanti, ia adalah kepuasan yang paling manis untuk kami yang bertugas di bahagian kejuruteraan ini,” katanya.
Tren MMMSL yang dikendalikan Prasarana akan beroperasi untuk tempoh tujuh hari bermula esok bagimembawa jemaah menunaikan ibadah-ibadah berkaitan haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina. – BERNAMA