KUALA LUMPUR – Skuad luncur ais negara menutup tirai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan sejarah manis apabila merangkul lima daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan dan tiga gangsa dalam sukan yang julung kali diperkenalkan pada temasya dwitahunan itu.
Dalam aksi hari ini, atlet luncur ais negara menambah tiga pingat emas daripada empat acara akhir yang dipertandingkan termasuk menyapu bersih emas acara larian berganti 3,000m wanita dan lelaki sebelum gelanggang luncur ais di Ice Arena, Empire City yang dibuka pada 25 Ogos lepas ditutup.
Komposisi hebat wirawati negara, Anja Chong An Ya, Ashley Chin Sook Hui, Nor Marissa Alia Ahmad Lokman dan See Wan Ni berjaya meraih kedudukan pertama dengan catatan masa terpantas 5:14.649s (saat) mengatasi tiga pasukan lain.
“Kami bekerja keras untuk ini dan saya amat bangga kami berupaya menyumbang satu lagi pingat emas untuk negara pada hari terakhir Sukan Sea. Tahniah kepad semua rakan sepasukan saya,” kata Anja Chong yang mewakili pasukan wanita kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.
Pingat perak dan gangsa dimenangi pasukan Singapura dan Indonesia dengan masing-masing mencatat masa 5:18.122s dan 5:24.052s.
Pasukan lelaki negara yang dibarisi Wong De-Vin, Mohamad Ariff Rasydan Mohamad Fadzli, Mohamad Hazim Syahmi Shahrum dan Khairil Ridhwan Khalil menjuarai acara sama dengan masa 4:31.438s untuk berada di kedudukan pertama menewaskan tiga pasukan lain.
Pasukan Singapura diwakili Chua Qi En, Miki Chong, Lucas Ng Jun Jie dan Lim Chia Yeh sekadar berpuas hati dengan pingat perak dengan mencatat masa kedua terpantas iaitu 4:37.113s.
Tiada pingat gangsa dimenangi mana-mana pasukan memandangkan pasukan Thailand tersingkir disebabkan kecederaan seorang peluncurnya, sekaligus menyebabkan perlumbaan itu terpaksa dimulakan semula antara skuad Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Bagaimanapun dalam saingan kedua, pasukan Indonesia dikenakan penalti kerana mengasari peluncur Singapura.
Terdahulu, dalam acara Speed Skating 1000m wanita, peluncur negara Anja Chong sekali lagi berjaya menjuarai pingat emas dengan catatan masa terpantas 1:48.835s manakala rakan senegara, Ashley Chin Sook Hui meraih pingat gangsa dengan mencatat masa 1:49.321s.
Pingat perak dimenangi peluncur Singapura, Goh Cheyenne dengan catatan masa 1:48.907s.
Bagi acara sama kategori lelaki pula, atlet negara Mohamad Hazim Syahmi Shahrum memenangi pingat gangsa dengan masa 1:57.870, satu tangga di belakang peluncur Singapura Lucas Ng Jun Jie yang meraih pingat perak dengan catatan masa 1:55.185s.
Pingat emas diraih atlet Thailand menerusi Triphop Thongngam yang mencatat masa 1:55.127s.
Sebelum ini, atlet luncur ais negara meraih dua pingat emas melalui atlet senior Julian Yee yang meraih emas pertama sukan itu apabila mengungguli acara ‘figure skating’, diikuti kejayaan Anja Chong yang menempa emas melalui acara Speed Skating 500m wanita.
Dua lagi pingat gangsa diraih menerusi Chew Kai Xiang dalam acara ‘figure skating’ dan Mohamad Ariff Rasydan Mohamad Fadzli (Speed Skating 500m lelaki).
Dengan kemenangan itu, kem luncur ais negara menutup kempen Sukan SEA KL2017 dengan melepasi sasaran tiga pingat emas yang diletakkan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM). – BERNAMA