SHAH ALAM – Nampaknya bahana isu ‘panas’ asal-usul keturunan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mula berjangkit!
Ia menjadi ‘hangat’ apabila pembangkang tiba-tiba pula membela identiti bekas perdana menteri itu walhal umum maklum mereka sejak dahulu sering biadab mengeksploitasi nama sebenar Mahathir sebagai bahan jenaka politik
Terbaharu netizen tempatan dikejutkan dengan kemunculan ‘Jalan Kel**g Pu**ek’ yang bunyinya sahaja mungkin berbaur rasis dan lucah melampau kerana merujuk etnik asal India itu selain istilah bagi bahagian kemaluan wanita.
Namun itulah nama yang diberikan kepada sebuah lorong kecil sebuah perkampungan di Seksyen 32 di sini seperti tular dipaparkan menerusi peta maya popular antarabangsa Google Map, menurut laporan media tempatan.
Hal itu menjadikan jalan berkenaan yang sebenarnya adalah salah satu lorong di Kampung Bukit Naga tiba-tiba menjadi popular sekelip mata apabila imej peta itu kemudiannya disebarkan pula oleh pengguna media sosial lain.
Ramai netizen turut membuat semakan menerusi rujukan silang dengan aplikasi pemetaan maya lain, yang turut memaparkan lorong tersebut kerana pada asalnya tidak bernama itu, sebelum nama berubah sedemikian lucu.
Tinjauan media ke lokasi berkenaan namun mendapati nama jalan tersebut palsu dan keadaan itu menyebabkan penduduk tidak ‘duduk diam’ apabila menerima mesej pertanyaan daripada rakan-rakan tentang perkara terbabit.
Ketua kampung Bukit Naga, Buang Ismail berkata, tidak pernah wujud nama jalan seumpama itu di kampung tersebut: “Dengan memberi nama jelik sebegitu, secara tidak langsung memburukkan penduduk dan kampung ini.
“Jadi saya berharap orang ramai yang menerima imej itu, berhentilah daripada menyebarkannya kerana paparan itu palsu,” katanya sambil menjelaskan bahawa kampung itu di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Perkampungan tradisional berkenaan ujar Buang, ketika ini hanya mempunyai penduduk seramai 9,780 orang dengan kira-kira 99 peratus daripada mereka adalah berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Sementara itu seorang pesara kerajaan, Abdul Malek Husin mengakui berasa agak terkejut apabila diberitahu oleh beberapa rakannya bahawa lorong tempat dia tinggal sejak 25 tahun dahulu itu tiba-tiba ‘diberi’ nama sebegitu.
“Perbuatan ini memang melampau. Saya tidak dapat bayangkan apa tujuan orang buat macam ni kepada kami,” katanya. Bagaimanapun, nama jalan palsu itu sudah dipadamkan daripada sistem aplikasi Google Maps.
Namun nama jelik berkenaan masih lagi boleh dijejaki menerusi aplikasi talian e-hailing yang lazim digunakan pelanggan Uber atau Grab untuk menempah perkhidmatan kenderaan tersebut. – Agensi/Myewshub.cc/HAA