SEBAGAI protes 50 tahun pendudukan haram rejim Zionis di Tebing Barat serta tindakan Israel halang umat Islam menunaikan solat di Masjidil Aqsa Julai lalu, TV AlHijrah dan Aman Palestin bertindak menyuarakan solidariti umat Islam Malaysia dalam mempertahankan Masjidil Aqsa.
Kempen Ekspresi ini akan diadakan pada 27 Ogos di AlHijrah Big Studio (ABS) Cyberjaya, Selangor bermula 4.30 petang dengan program Jualan Boot Kereta dan Sesi Tazkirah Open Mic.
Sesi kemuncak ialah solat Maghrib dan solat Hajat. Dijangka lebih 1,000 tetamu akan hadir memeriahkan sokongan ummah dalam menentang kekejaman Israel.
Acara diteruskan dengan persembahan konsert muzikal Islami selama tiga jam secara langsung di TV AlHijrah, Salam HD, Bernama TV dan Radio IKIM fm mulai jam 9 malam.
Persembahan ini akan disertai artis-artis terkenal tanah air antaranya Raihan, Rabbani, Nora, Siti Nordiana, Lah VE, Caravan Of Praise, Priakustik, Afdlin Shauki dan Mat Dan.
Konsert tiga jam ini dihoskan oleh Faizal Ismail dan Shafinaz Yunus.
Jangan lupa menonton Ekspresi Aqsa Solidariti Ummah. Ayuh bangkit Cintai Aqsa Demi Islam pada Ahad, 27 Ogos jam 9.00 malam. – MYNEWSHUB.CC