USAHAWAN kosmetik dan personaliti popular, Datuk Seri Vida menafikan dia sedang tidak ‘sebulu’ dengan KRU Music mengenai hak cipta lagu nyanyiannya, I Am Me.
Pemilik nama sebenar Datuk Seri Dr. Hasmizah Othman ini berkata, perkara itu hanyalah gosip semata-mata dan beliau tidak mahu aura positif lagu itu hilang disebabkan perkara berkenaan.
Baca: Betul Ke Datuk Vida & Edry KRU Ada Konflik?
“Tiada perselisihan antara saya dengan KRU Music. Kalau boleh, jangan calarkan nilai positif yang ingin saya sebarkan menerusi lagu itu,” katanya kepada Harian Metro.
Dakwaan itu kononnya Vida tidak berpuas hati apabila KRU Music memperoleh hak cipta lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu sedangkan wanita tersebut yang memberikan idea dan mengeluarkan kos.
Dalam pada itu, Vida kini dalam proses perbincangan untuk menghasilkan muzik video terbaru lagu berkenaan.
”Sebelum ini, kami keluarkan video lirik dan menjadi tular. Jadi, menjelang 4 dan 5 September ini, saya akan memulakan penggambaran muzik video I Am Me dan ia akan diarahkan Ghaz Abu Bakar.
“Saya sedang mencari beberapa elemen menarik yang bakal mencuri perhatian peminat. Apa yang boleh saya janjikan, ia akan tampilkan sesuatu yang berbeza berbanding muzik video lagu-lagu lain yang pernah ada,” katanya lagi.
Selain menampilkannya sebagai penyanyi, muzik video itu juga akan mengetengahkan anak perempuannya iaitu Cik B.
Sebelum ini, video lirik yang dimuat naik di YouTube sejak 17 Julai lalu sudah mencecah lebih 7 juta tontonan. – MYNEWSHUB.CC