SHAH ALAM – Susulan kecoh mengenai isu pembatalan kenduri makan durian besar-besaran, ‘Kendurian Makan Sampai Pengsan’ sehingga menyebabkan ribuan penggemar raja buah itu pulang dengan perasaan kecewa dan hampa, penganjurnya tampil memberikan penjelasan berhubung pembatalan acara tersebut.
Menerusi video yang dikongsikan itu, penganjur mengatakan mereka terpaksa membatalkan program buffet durian itu disebabkan bekalan durian yang diambil daripada pembekal adalah mentah dan tidak masak.
Menurut penganjur tersebut, bukanlah niat mereka untuk mengecewakan pencinta buah durian yang sanggup datang dari luar Shah Alam semata-mata mahu merasai sendiri kemeriahan Kendurian anjuran mereka.
Namun, bak kata pepatah, kita hanya mampu merancang, Tuhan jua yang menentukan segalanya.
Begitulah diibaratkan situasi yang dialami oleh penganjur yang turut mengalami kerugian lebih RM150,000 disebabkan bekalan durian mentah yang dibekalkan kepada mereka.
Memetik laporan akhbar semalam, pengunjung ada meluahkan perasaan hampa apabila mendapati program tersebut batal.
Pekerja swasta, Mohd Azrimal Sharifudin, 32, dari Sungai Besi kecewa kerana keluar awal dari rumah untuk menikmati durian.
“Sebaik tiba, penganjur memaklumkan durian belum ada kerana mereka menerima bekalan buah belum masak.
“Ia sangat menghampakan kerana saya ‘hantu durian’. Saya siap bawa air botol dan pisau untuk acara ini,” katanya memetik laporan BH Online.
Sementara itu, keceriaan Armi Farid, 41, dan keluarganya tidak kekal lama selepas mengetahui program itu dibatalkan.
“Saya dapat maklumat menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa ‘kendurian sampai pengsan’, maka kami teruja untuk ke sini.
“Namun apabila tiba jam 10.15 pagi tadi, penganjur memaklumkan acara makan durian hari ini dibatalkan kerana pembekal menghantar durian belum masak.
“Penganjur mendakwa mereka ditipu oleh pembekal membabitkan kerugian hingga RM200,000.
“Apa oleh buat, kami pulang ke rumah nampaknya. Cuma saya kasihan tengok ramai pengunjung yang datang dari jauh ke acara ini,” katanya.
Selepas mendapati lebihan durian itu mentah, penganjur kemudiannya mengambil keputusan untuk membatalkan program makan-makan tersebut daripada menanggung risiko sekiranya mereka masih meneruskan jualan buah durian mentah buat pengunjung yang hadir.
Program ‘Kendurian Makan Sampai Pengsan’ yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14 di sini menawarkan peluang kepada pengunjung menikmati sebanyak mungkin durian pada harga RM19 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.
Menurut penganjur daripada 15 tan buah durian jenis Batang Mas yang ditempah dari Thailand, hanya 200 kilogram sahaja yang masak malah ia habis dalam masa sejam yang dimakan oleh kira-kira 50 pengunjung terawal acara tersebut.
‘Kendurian Makan Sampai Pengsan’ ini merupakan antara salah satu acara yang termasuk dalam tentatif Festival Makanan Mega Selangor 2017 yang dianjurkan oleh Tourism Selangor. – MYNEWSHUB.CC