MELAKA – Ketua Jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Nelo Vingada akan mencari formula dan strategi terbaik untuk mengatasi Syria dalam perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat di sini pada 8.45 malam esok.
Beliau berkata tiada gunanya jika me maksa untuk strategi, gaya permainan dan latihan yang ketat sekiranya pemain tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik, dan beliau percaya mencari penyelesaian terbaik untuk memadankan gaya beliau dan pemain adalah kaedah tepat.
Jurulatih berasal dari Portugal itu berkata persembahan pemain Harimau Malaya akan bertambah baik sekiranya mereka dapat menyesuaikan diri, jadi adalah penting baginya, kakitangan dan para pemainnya untuk mencari penyelesaian terbaik yang sesuai dengan mereka.
“Menjadi tugas saya membawa penyelesaian tetapi saya perlu kenal pemain dengan lebih baik (jadi) saya telah pergi ke lebih 20 perlawanan untuk memilih pemain terbaik dan saya kenal mereka dengan baik. Perlawanan menentang Syria esok adalah sebahagian daripada proses untuk persiapan kami dan saya berharap kita dapat lakukannya dengan baik,” katanya kepada pemberita di Bandar Hilir di sini hari ini.
Vingada berkata setakat ini, para pemain telah menyesuaikan diri dengan taktiknya semasa latihan selama seminggu manakala 11 pemain baharu yang dibawa masuk ke skuad 24 pemain menunjukkan impak positif khususnya dalam menyesuaikan diri dengan pasukan dan pemain baharu akan membawa pilihan berbeza kepada Harimau Malaya.
“Saya boleh katakan kali ini (kesebelasan utama perlawanan dengan Syria) akan menjadi sedikit berbeza berbanding perlawanan menentang Lubnan kerana saya percaya pasukan terbaik berada di Lubnan tetapi kita mahu melihat persembahan pemain baharu dahulu sebelum membuat sebarang keputusan muktamad,” katanya.
Beliau berkata terdapat rancangan untuk membina mekanisme peralihan antara skuadnya, skuad bawah 23 kendalian Datuk Ong Kim Swee dan skuad Bojan Hodak bawah 19, untuk menyumbang pemain muda terbaik kepada pasukan kebangsaan. – BERNAMA