SABAK BERNAM – Amat jarang benar jumpa wakil rakyat yang cukup seronok dengan dunia buku, namun itulah berlaku terhadap Ahli Parlimen kawasan Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) memang terkenal sejak dahulu lagi sebagai ‘kaki buku’, malahan terlibat aktif dalam rancangan pembentukan Dasar Buku Negara.
Terbaharu, Budiman, 45, mendirikan sebuah kedai buku, Pustaka Hamka di Kampung Tebuk Haji Yusof, di sini yang dirasmikan pembukaannya hari ini oleh wakil Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Fadil Omar Baki.
Berita mengenai kedai buku tersebut malah mendapat liputan luas media Indonesia memandangkan Hamka atau nama sebenarnya, Prof. Dr. Abdul Malik Abdul Karim Amrullah amat disegani ketokohannya di republik itu sendiri.
Ulama berasal dari wilayah Sumatera Barat itu juga dikenali sebagai sasterawan, wartawan, penulis dan pengajar di Indonesia sehingga pengaruhnya tersebar ke seluruh Nusantara meskipun sudah meninggal pada 1981 lalu.
Idea penubuhan Pustaka Hamka menurut Budiman tercetus apabila beliau berkunjung ke Majlis Pustaka dan Informasi, Pusat Pengajian Hamka, Universiti Muhammadiyah Hamka di Jakarta, Indonesia beberapa tahun lalu.
Beliau yang juga ADUN kawasan Sungai Panjang turut menziarahi Masjid Agung Al-Azhar Jakarta yang pernah diuruskan oleh Hamka selain dapat bertemu sendiri dengan anak ‘Buya’ Hamka dan pengurus masjid tersebut.
Budiman menyatakan bahawa pertama kali membaca buku karya Hamka ketika di darjah 5 sekolah rendah pada 1984 dan memiliki banyak koleksi buku Hamka sebanyak 74 judul buku, termasuk disumbangkan oleh orang luar.
“Ada satu buku itu judulnya Falsafah Hidup. Saya memang tidak faham sebenarnya sehingga saya baca berulang-ulang kali dan akhirnya saya faham kerana sebelum itu saya anggap ia sekadar buku agama biasa,” katanya.
Ketika remaja ujar Budiman, ramai ustaz ketika itu yang membincangkan buku dan tulisan Hamka bahkan allahyarham popular di Malaysia pada 1970-an kerana sering diundang stesen TV1 RTM dalam program agama.
“Hamka ini memang sangat dekat dengan Malaysia dan bagi saya Hamka ini milik semua umat. Hamka ini milik Nusantara, malah adalah ulama serantau yang boleh diambil sebagai model terbaik,” jelas beliau lagi.
Budiman memberitahu bahawa beliau turut suka membaca karya agung Hamka seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kabah dan buku-buku agama seperti Pedoman Hidup dan Tafsir Al-Azhar.
Menyentuh mengenai Pustaka Hamka, wakil rakyat UMNO-Barisan Nasional itu berharap usaha tersebut dapat menggalakkan rakyat khasnya golongan muda di Sungai Besar memanfaatkan kekayaan ilmu pengetahuan.
Pembukaan pustaka sempena nama Hamka itu adalah manifestasi terhadap penulisan buku-buku tokoh tersebut yang telah membawa pengaruh besar kepada masyarakat Nusantara walaupun allahyarham dilahirkan di Indonesia.
“Saya fokus untuk memilih karya Hamka kerana ia dekat dengan sentimen masyarakat kita. Saya fikir ia mewakili suara masyarakat Nusantara selain menjadi nostalgia dan rujukan kepada khalayak pembaca di negara ini.
“Saya mahu wujud budaya baca dan perbincangan intelektual dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya yang turut memaklumkan sebanyak 80 peratus daripada 134 judul buku karya Hamka sudah ditempatkan di pustaka itu.
Budiman turut mengalu-alukan sumbangan masyarakat untuk menderma atau meminjamkan buku tulisan Hamka ke pustaka itu demi dimanfaatkan orang ramai yang dibuka pada setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Yang hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pimpinan Cabang Istimewa Muhammadiyah Malaysia, Prof. Madya Dr. Sonny Zulhuda; Ketua Pimpinan Cabang Istimewa Aisiyah Malaysia, Nita Nashitah dan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Lamongan Jawa Timur, Ali Mahfud. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA