KUALA LUMPUR – DAP membayangkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak semestinya dipilih menjadi Perdana Menteri sementara jika Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat berhubung jawatan Perdana Menteri sementara itu perlu mendapat persetujuan semua parti dalam Pakatan Harapan termasuk DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN).
“Ada konsensus dalam Pakatan Harapan bahawa Anwar (suami Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan menjadi Perdana Menteri yang ke-8 jika Pakatan Harapan menang PRU14.
“Bagaimanapun, keputusan siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri yang ke-7 (sementara) masih tertakluk kepada konsensus Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sebelum ini terdapat desas-desus PKR mahu Wan Azizah menjadi Perdana Menteri sementara jika pembangkang menang PRU14 sebelum Anwar yang sedang dihukum penjara atas kesalahan meliwat lelaki lain dibebaskan.
PKR dipercayai mahu memastikan tiada permainan belakang oleh parti pembangkang lain untuk mengangkat calon lain termasuk dalam kalangan pemimpin DAP atau PPBM menjadi Perdana Menteri yang seterusnya.
Jika pun strategi PKR itu berjaya, Anwar dijangka hanya berkesempatan menjadi Perdana Menteri dalam tempoh beberapa tahun memandangkan usianya yang telah pun mencecah 70 tahun ketika ini.
Ramai pihak meramalkan Malaysia akan dilanda kekecohan yang teruk gara-gara perebutan kuasa selepas Anwar tidak lagi layak memegang jawatan Perdana Menteri atas faktor usia dan kesihatan.
Parti-parti lain termasuk DAP sudah pasti akan turut mencalonkan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri selepas Anwar.
Terdahulu, Kit Siang mengulas kebimbangan seorang aktivis pembangkang bahawa Pakatan Harapan akan mengembalikan pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Malaysia jika menang PRU14.
Ia kerana Mahathir yang pernah dilabelkan oleh pembangkang sebagai diktator, firaun dan bapa kepada segala penyamun di Malaysia kini dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.
Kit Siang bagaimanapun kelihatan cuba berdolak dalih dalam menjawab kebimbangan aktivis pembangkang tersebut dengan mendakwa kononnya apa yang penting menyingkirkan UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mahathir selepas keluar daripada UMNO gara-gara kepentingan peribadi dan kroninya tidak dipenuhi kerajaan Persekutuan bertindak menubuhkan PPBM.
Beliau kemudian membawa PPBM menyertai Pakatan bagi melunaskan dendamnya ke atas UMNO dan Najib. – MYNEWSHUB.CC