JOHOR BAHRU – Seorang wanita ditemukan lemas dipercayai terjatuh ke dalam laut berhampiran pusat bebas cukai di Stulang Laut, di sini, tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Rupeah Abdul Wahid berkata mayat wanita berumur lingkungan 40 tahun itu dijumpai orang awam kira-kira 12 tengah malam dalam keadaan terapung.
“Siasatan mendapati wanita berkenaan tidak bekerja dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Rupeah berkata hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berkenaan tidak dikaitkan dengan sebarang perlakuan jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Bagaimanapun, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung kes itu, katanya. – BERNAMA