MIRI – Seorang wanita maut ditembak oleh ipar sendiri di kebun berhampiran Rumah Panjang Mathew, Sungai Sarau, Sebauh Bintulu pada 4.30 petang semalam.
Ketua Polis Bintulu, ACP Zailanni Amit berkata mangsa Bermau Bauk, 70, ditembak oleh suspek seorang lelaki berusia 59 tahun yang sedang memburu menggunakan senapang patah semasa kejadian berlaku.
“Suspek melepaskan tembakan ke arah sasaran yang dipercayainya seekor monyet,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zailanni berkata, namun selepas pemeriksaan dibuat mendapati ia bukanlah seekor monyet tapi seorang wanita dikenali, ditemukan dalam keadaan terbaring dan sudah mati.
“Senapang patah yang digunakan sudah dirampas dan suspek ditahan untuk membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian secara cuai. – BERNAMA