PARIT – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan penipuan dalam urusan jual beli telefon bimbit dan komputer riba, membabitkan kerugian lebih RM20,000 tahun lepas.
Tertuduh Nisha Hidayah Mansor, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.
Dia didakwa memperdaya Ahmad Adib Azhar, 21, dengan mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM12,950 melalui akaun Maybank dan CIMB kepadanya bagi pembelian 12 telefon bimbit jenis Iphone 6S yang tidak wujud.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Universiti Teknologi Petronas Seri Iskandar kira-kira 10 malam, 10 Jun 2016.
Penganggur itu juga didakwa memperdaya Nur Izzatty Salimun, 20, dengan mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM14,250 melalui akaun Maybank kepadanya bagi pembelian 16 telefon bimbit jenis Iphone 6S dan sebuah komputer riba yang tidak wujud.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama kira-kira 1 petang, 11 Julai 2016.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan dua penjamin dan 30 Ogos untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Harbans Kaur. – BERNAMA
*Video sekadar hisan…