KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai terperangkap di dalam kenderaan dihanyutkan arus banjir di Kampung Lingkungan, dekat Beaufort, kira-kira 97 kilometer dari sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang Rastam Keladi berkata mangsa dikenali sebagai Naidi @ Nadzrose Gaimain, 63, dipercayai terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya.
Rastam berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul11.30 malam dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.
“Anggota Bomba yang bertugas mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu dan mangsa didapati telah meninggal dunia. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis Beaufort untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurutnya, kenderaan pacuan empat roda itu dihanyutkan arus banjir sebelum terbabas memasuki parit sedalam kira-kira dua meter. Kampung itu dinaiki air selepas hujan malam tadi.
Seramai 11 anggota bomba dari BBP Sipitang dan Beaufort terlibat dalam operasi itu. – BERNAMA