MESKIPUN ada usaha geng PKR cuba kacau sebelum kantoi ditahan polis, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap dapat sambutan hangat sewaktu turun ke kubu pembangkang di Permatang Pauh pada Khamis.
Malah majlis kenduri rakyat bersama beliau secara bersila di Politeknik Seberang Perai di situ secara rasmi masuk dalam senarai Malaysia Book of Record dengan mencatatkan kehadiran paling ramai yakni 21,380 orang.
Najib yang bersemangat melihat suasana cukup meriah dalam majlis itu dalam ucapan menyifatkan ia satu kejayaan bagi Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi Mohd Said yang rajin buat kerja dan jaga kawasan.
Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan. Serentak itu, beliau menyeru warga Permatang Pauh buat U-Turn menyokong kembali Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.
Katanya yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO, setelah sejak PRU pada 1999 jatuh ke tangan pembangkang yang tidak banyak membawa pembangunan di kawasan itu, kini sudah tiba masanya mereka buat perubahan.
Lagipun ujarnya orang itu (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang kini masuk pembangkang sudah pun banyak buat pusingan U dalam pendirian politik manakala gerakan Reformasi dibawa PKR pula sudah lama berkubur.
“Takkan tak boleh buat perubahan di Permatang Pauh sebab Reformasi sudah tidak ada. Dulu ditubuhkan konon mahu lawan orang yang dikatakan diktator, maha firaun, maha zalim, tetapi orang itu yang didakap pula…
“Sudah dakap jadi pengerusi (Pakatan Harapan). Mana (ada) lagi semangat Reformasi, sudah tak ada Reformasi. Apabila sudah tak ada, kita tutup buku lama, buka buku baharu,” tegas Najib ketika berucap di politeknik tersebut.
Beliau menegaskan bahawa sudah sampai masanya penduduk mengubah pendirian apabila Mahathir sudah banyak kali membuat pusingan U: “(Justeru) Tuan-tuan pun kena buatlah ‘U-turn‘ juga di Permatang Pauh!”
Najib berkata sudah tiba masanya pengundi di Permatang Pauh membuat perubahan itu selepas PKR juga dilihat gagal membuat perubahan sepanjang berbelas-belas tahun diberi peluang mewakili kawasan Parlimen itu.
“Tidak banyak perubahan di sini. Tak tahu apa peranan Anggota Parlimen (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) selama ini. Penduduk boleh buat perubahan dengan undi BN,” ujar beliau.
Najib berkata pembangkang tidak perlu bermain sandiwara politik kerana penduduk sudah celik dan sedar, maka sudah sampai masa demi kepentingan rakyat dijaga dengan menjadikan Malaysia lebih maju, hebat dan cemerlang.
Beliau menambah, berdasarkan sejarah, Permatang Pauh sememangnya kawasan kubu kuat BN tetapi landskap politik berubah pada tahun 1998 selepas Mahathir memecat zalim Anwar yang ketika itu timbalan perdana menteri.
Perdana menteri berkata BN tidak pernah putus hubungan untuk berkhidmat di Parlimen Permatang Pauh walaupun kerusi itu telah lama diwakili calon pembangkang dan menjadi kawasan hitam BN setiap kali PRU.
BN jelas beliau, sentiasa menunaikan janji dan bukan seperti pembangkang yang berjanji tetapi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan, katanya sambil memberi contoh kegagalan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP.
Najib menambah, kepimpinan kerajaan negeri tersebut membuat pelbagai janji sejak PRU pada 2008, antaranya konon mahu membina terowong dasar laut dan sistem aerobus, tetapi sehingga kini belum dilaksanakan.
Kerajaan BN bina MRT dan melaksanakan pelbagai perkara untuk Malaysia sehingga dihargai oleh dunia, jauh berbeza dengan kerajaan negeri “berjanji (kadar) air tidak naik pun, (telah) empat kali (kadar) dinaikkan”.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian peruntukkan sebanyak RM45 juta untuk pembinaan Sekolah Menengah Agama Seberang Perai Tengah di situ. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA