KUALA LUMPUR – Buku Konfesi Prebet Adam hasil nukilan Syahril A. Kadir, sebuah karya agung yang dapat membersihkan nama Almarhum Sultan Iskandar yang dituduh membunuh adik Prebet Adam dalam satu kejadian amuk di Chow Kit pada 1987.
Insiden yang mencecah tiga dekad lalu itu turut merungkaikan kisah sebenar bahawa wujudnya dalang yang cuba mengeksploitasikan tragedi ‘amukan Prebet Adam’ dengan konspirasi mengurangkan kekebalan dan kuasa Raja Melayu pada akhir 1980-an.
Tragedi hitam yang pernah menggemparkan negara pada Oktober 1987 itu diimbas semula oleh bekas peguam bela Adam iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam majlis diskusi Prebet Adam Amok di Chow Kit, semalam.
Shafiee mendakwa wujud satu konspirasi oleh pihak tertentu yang menggunakan tragedi amuk itu untuk mengaitkan Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar ke kancah lain yang lebih besar.
“Pada sekitar 1987 dan 1988, Kerajaan Persekutuan ketika itu mempunyai perancangan untuk mengurangkan kuasa dan kekebalan pihak istana.
“Bagaimanapun Almarhum Sultan Iskandar iaitu Sultan Johor merupakan antara sultan yang lantang menentang rancangan tersebut,” jelasnya yang masih ingat tarikh perbicaraan ketika menjadi peguam bela Adam di mahkamah iaitu pada 4 April 1988.
Dalam hal ini, kata Shafiee mendakwa terdapat beberapa pegawai polis terlibat untuk mengaitkan amukan Adam itu bagi membela kematian adiknya yang didakwa mati selepas dipukul oleh Almarhum Sultan Johor.
“Ada pihak nak ambil kesempatan di atas keadaan Adam dalam situasi yang terancang. Ini menunjukan pihak tersebut mengetahui Adam pada ketika itu sedia mempunyai masalah mental sejak ditahan,” katanya.
Shafee menjelaskan demikian tanpa menamakan mana-mana pihak tertentu yang menjadi dalang berdasarkan beberapa petunjuk dan faktor yang berlaku.
Diskusi yang berlangsung di Rumah Harapan Budi, Bukit Persekutuan di sini turut membabitkan dua ahli panel iaitu penulis buku Buku Konfesi Prebet Adam sendiri dan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghani Abdullah.
Dalam pada itu, Syahril ketika mengulas lanjut bagaimana Adam menceritakan kepadanya bahawa beberapa orang pegawai polis memaksa dirinya untuk mengaku kejadian amuk itu adalah untuk kononnya menuntut pembelaan kematian adiknya.
“Pada hari pertama dia ditahan di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Adam telah didatangi oleh beberapa orang pegawai polis yang bertanyakan soalan yang tiada kaitan langsung dengan insiden amuk itu.
“Dipendekan cerita, Adam setiap hari ditanam maklumat dalam minda konon adiknya telah dibunuh oleh Almarhum Sultan, setiap hari dia dimasukkan dengan maklumat yang seratus peratus mengelirukan.
“Selama 30 tahun Adam difitnah kononnya hendak membalas dendam di atas kematian adiknya sedangkan perkara tersebut tidak pernah timbul sama sekali,” tegasnya.
Tambah bekas wartawan meja jenayah itu, Adam mengamuk kerana dia menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual yang di luar batas kemanusian di dalam sebuah kem tentera tempat dia bertugas.
Buku Konfesi Prebet Adam terbitan Dubook Press Sdn. Bhd. ditulis berdasarkan pengalaman Syahril melalui sesi temubual dan kajian yang dijalankan ketika dia bertugas sebagai wartawan jenayah.
Malahan beliau memilih untuk merungkai kisah kontroversi ini kerana mahu masyarakat tahu akan kebenaran yang berlaku ketika itu. – MYNEWSHUB.CC