KUALA LUMPUR – Kem negara ceria apabila atlet wushu lelaki kebangsaan, Ho Mun Hua (gambar atas), mengutip pingat emas pertamanya dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Dia menduduki tangga teratas acara nanquan di Dewan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi ini Semalam, dia tewas di tangan Thein Than Oo dari Myanmar dengan perbezaan 0.02 mata, sekali gus terlepas peluang meraih emas bagi kategori nangun lelaki.
Bagaimanapun, kutipan 9.67 mata bagi kategori nanquan berjaya memberikan emas buatnya, menewaskan pencabar terdekat dari Vietnam, Pham Quoc Khanh (9.66 mata), dan Roslan Md Sufi dari Brunei (9.65 mata).
Kecemerlangan Mun Hua diteruskan oleh Loh Jack Chang apabila mengungguli kategori taijiquan lelaki untuk turut memenangi emas menewaskan pencabar terdekat, Samuel Tan Wei Han (Singapura) dan Khant Min Htet (Myan Mar).
Meskipun telah meraih emas dalam kategori taijijian lelaki pada Ahad, Jack Chang jelas masih belum berpuas hati apabila mencatatkan 9.66 mata untuk menewaskan Tan Wei Han (9.52 mata) dan Min Htet (9.36 mata).
Dua atlet wanita negara, Diana Bong dan Tai Cheau Xuen, terlepas peluang membutirkan pingat buat Malaysia selepas sekadar menduduki tangga keempat dan kelima kategori nandao dan nangun dengan kutipan mata 18.76 dan 18.67 keseluruhan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA