BOS Real Madrid sekali lagi memberi peringatan mengenai pemainnya.
Zinedine Zidane menegaskan bahawa Gareth Bale akan kekal di Bernabeu biarpun banyak laporan mengenainya berkaitan dengan Manchester United.
Pengurus United, Jose Mourinho sebelum ini tanpa berselindung mendedahkan keinginannya untuk mendapatkan Bale.
Dengan tempoh jendela perpindahan yang semakin hampir ke penghujungnya, Mourinho bercadang untuk terus berbelanja mendapatkan Bale jika pemain itu tidak mendapat tempat utama di Sepanyol.
Mourinho memberitahu dia akan memantau sama ada Bale bermain atau tidak pada perlawanan akhir Piala Super Selasa ini.
“Jika dia bermain pada aksi itu, saya tidak akan cuba mendapatkannya (Bale) kerana yakin dia tersenarai dalam perancangan kelab.
“Dan dia ada keinginan untuk meneruskan kariernya di Madrid,” jelas Mourinho.
Sementara itu Zidane menegaskan mengenai masa depan pemain antarabangsa Welsh itu.
“Apa yang paling penting adalah keselesaan pemain. Dia banyak menjalani latihan berterusan dengan kami.
“Bukan sesuatu yang mudah buatnya pada penghujung musim. Dia terkeluar selama empat bulan (cedera) dan kini kembali lebih fokus.
“Dan apa yang paling penting sekarang adalah Bale adalah pemain Real Madrid. itu sahaja yang boleh saya katakan,” ujar Zidane dalam Mail Online. – mStar Online