KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Institut Sukan Negara (ISN) akan berbincang mengenai status tiga pemain badminton negara yang berada di bawah Program Podium.
Ia susulan berlaku beberapa perubahan termasuk gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang dipisahkan ekoran prestasi yang merosot serta Goh Liu Ying yang berehat lama dari pentas kejohanan antarabangsa.
Tempat Liu Ying kini diganti dengan Cheah Yee See yang digandingkan dengan Chan Peng Soon untuk acara beregu campuran.
Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata buat masa ini ketiga-tiga pemain berkenaan masih kekal di dalam Program Podium.
“Buat masa ini mereka masih di bawah Program Podium.
“Kita akan libatkan ISN untuk membincang mengenai pemain dan khidmat sokongan,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pusat Sukan Universiti Malaya (UM) di Akademi Badminton Malaysia hari ini.
Gandingan V Shem-Wee Kiong akhirnya dipisahkan ekoran prestasi merosot mereka sepanjang tahun ini selepas cemerlang di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan meraih pingat perak.
Kedua-dua pemain negara itu digandingkan dengan beregu kedua kebangsaan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Gandingan V Shem-Ee Yi dan Wee Kiong-Yew Sin akan diuji pada Terbuka Perancis pada Oktober bagi melihat keserasian kedua-dua pasangan baharu itu. – BERNAMA