KANGAR – Persatuan Penulis Perlis-Aduka 3P menjuarai pertandingan Berbalas Pantun 2017 peringkat negeri Perlis yang berlangsung di Auditorium Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis (APM) di sini, hari ini.
Aduka-3P yang diwakili Muhammad Zaki Ikhwan Mohd Jehwan, Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid dan Mohd Nazrullah Abdul Aziz menewaskan Khutub Khanah yang dianggotai Hasniza Ibrahim, Haizatul Afni Bakhtiar, Noor Hayati Hussin.
Aduka-3P menerima hadiah wang tunai RM2,000, piala iringan dan sijil manakala Khutub Khanah meraih RM1,000, piala iringan dan sijil.
Mohd Nazrullah daripada Aduka-3P turut dinobatkan sebagai pemantun terbaik pertandingan itu dan menerima hadiah RM500 dan sijil.
Pasukan Komuniti Mahasiswa Perlis (KOMAPS) dan Gemala Sari dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan Perlis (AADK) masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat pertandingan itu yang disertai enam kumpulan.
Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Hamdan Bahari menyampaikan hadiah-hadiah.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Persatuan Melayu Perlis (PEMANIS) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis. – BERNAMA