PUTRAJAYA — Lima sekolah di Putrajaya memenangi hadiah bernilai RM75,000 melalui program “Shop For Your School” anjuran Alamanda Shopping Mall.
Pada majlis penyampaian hadiah di sini hari ini, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) meraih tempat pertama, tempat kedua dimenangi Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), tempat ketiga menjadi milik Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2), tempat keempat diduduki Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya 18 (1) di tempat kelima.
Pemenang dalam program yang julung kali diadakan pusat beli-belah itu menerima pelbagai hadiah, termasuk komputer riba, komputer meja, pencetak dan baucer buku.
Pengurus besar Alamanda Shopping Mall Baldev Singh berkata “Shop For Your School” dianjurkan secara kerjasama antara Alamanda dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, yang menyaksikan 14 sekolah dipilih menyertai program itu dari 1 Julai hingga 31 Ogos.
Katanya, program itu dianjurkan bagi membolehkan orang ramai membeli-belah sambil menghulurkan sumbangan kepada sekolah yang terdapat di Putrajaya.
Alamanda merancang menjadikan program itu acara tahunan berikutan sambutan baik yang diterimanya. -BERNAMA