SEPANG – AirAsia menjalin usaha sama unik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila buat pertama kalinya di dunia, logo dan moto universiti itu dipapar di pesawat syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Logo ‘Universiti Putra Malaysia’, moto ‘With Knowledge We Serve’ and ikon, pokok hutan hujan yang direka bentuk oleh Fakulit Rekabentuk dan Senibina, dilukis pada pesawat Airbus A320-200 AirAsia dengan nombor pendaftaran 9MAQD.
Pelancaran pesawat itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di hangar Sepang Aircraft Engineering Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata perkhidmatan pesawat itu akan digilirkan antara destinasi penerbangan ke beberapa destinasi Asia bagi memboleh seramai mungkin masyarakat Asia melihatnya.
Beliau berkata kos mereka bentuk dan mengecat logo itu berjumlah kira-kira US$50,000, dan pada masa hadapan, pihaknya merancang meletakkan gambar penutut dan program yang ditawarkan oleh UPM di dinding kabin di dalam pesawat.
Dalam ucapannya sebelum itu, Naib Canselor UPM, Datin Paduka Aini Ideris berkata UPM bangga menjadi universiti pertama yang mempunyai logo tertera pada pesawat AirAsia.
“Walaupun ia bukan inisiatif komesial, AirAsia menyediakan platform untuk UPM dalam bidang reka cipta, kreativiti dan projek seni berimpak tinggi,” katanya.
Sementara itu, Idris memberitahu pemberita bahawa usaha sama UPM-AirAsia itu adalah hasil daripada program CEO@Faculty kementerian di UPM, yang dilancarkan dua tahun lepas, dengan ketua-ketua pegawai eksekutif dipelawa memberi ceramah di univerisiti-universiti dan menjalin rantaian dengan pensyarah dan penuntut. – BERNAMA