KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd meneruskan peluasan perkhidmatannya ke ASEAN menerusi penerbangan sulung ke Nha Trang, Vietnam, laluan baharu terus dari Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata, penerbangan pertama itu juga menandakan satu lagi kejayaan besar kepada syarikat penerbangan itu kerana ia merupakan syarikat penerbangan pertama yang menyediakan penerbangan terus ke Nha Trang dari Malaysia.
AirAsia juga menghubungkan penumpang dari Kuala Lumpur ke bandar lain di Vietnam termasuk Ho Chi Minh City menerusi penerbangan 42 kali seminggu, Da Nang 10 kali seminggu manakala ke Hanoi menerusi 11 penerbangan seminggu.
“Nha Trang ialah penambahan baik kepada rangkaian berdasarkan potensi hebatnya dan atas faktor itu kami memutuskan untuk menambah laluan Fly-Thru kami yang akan memberi manfaat kepada pengguna dari kawasan ini dan melepasinya untuk melawat bandar raya tepi pantai berkenaan.
“Kami juga berharap penduduk di Wilayah Khánh Hòa mengambil peluang ini untuk berkunjung ke Malaysia, ASEAN dan dunia menerusi perkhidmatan luas kami ke lebih 120 destinasi di 27 negara,” kata Ketua Komersialnya Spencer Lee. – BERNAMA