KUANTAN – Kedatangan musim durian saban tahun antara Ogos dan September, di Kampung Jeram, Beserah di sini sememangnya dinanti-nantikan penduduk mahupun orang luar yang ingin merasai keenakan durian kampung di situ.
Populariti durian kampung atau lebih dikenali sebagai durian Beserah bukan hanya menjadi buah mulut penduduk tempatan, malah menyebabkannya menjadi rebutan sehingga ke negara jiran, Singapura untuk membelinya.
Kehebatan rasa raja buah itu juga terserlah sehinggakan ia memiliki nama tersendiri dalam kalangan peminatnya seperti durian hijau tok penghulu, mek wok, tembaga, bubur, duri landak, kunyit dan jantung.
Seorang penduduk Ahmad Rizal Jaafar, 37, mengakui musim durian luruh (antara Ogos dan September) merupakan musim yang dinanti-nantikan dan beliau masih ingat bagaimana hampir semua orang tua yang mempunyai kebun sendiri, akan memanggil anak cucu untuk pulang ke kampung.
“Boleh dikatakan, suasana di kampung ibarat menyambut pesta keramaian apabila tiba musim durian kerana masing-masing sibuk melakukan persiapan untuk memungut buah durian luruh di kebun.
“Antara aktiviti wajib dilakukan ialah menebas dan membersihkan kawasan sekitar kebun, membaiki pondok menunggu serta menyediakan kelengkapan untuk menyuluh durian.
“Penduduk juga bergotong-royong dalam menghapuskan haiwan perosak kepada raja buah berkenaan dan ada yang menggunakan senapang untuk menakutkan haiwan perosak,” katanya kepada Bernama di sini.
Tambahnya, setiap kali musim durian, hampir setiap malam penduduk akan ke pondok untuk menunggu buah luruh dan sambil menunggu, ada yang mengambil kesempatan untuk memasak dan berkelah di sungai berhampiran.
Bagaimanapun, Ahmad Rizal menambah itu hanya kenangan bagi dirinya kerana suasana itu ‘seakan-akan sudah pudar akibat tempias pembangunan dan perlombongan bauksit’ yang menyebabkan hasil tanaman itu semakin berkurangan.
Beliau menambah perlombongan bauksit yang tidak terkawal sebelum ini menyebabkan laluan ke kebun rosak teruk dan pencemaran sungai.
“Siapa mahu masuk ke kebun kalau jalan yang perlu dilalui berlubang-lubang sehingga sukar dilalui kenderaan biasa, air sungai pula tidak lagi jernih tetapi berkeladak dan menimbuskan pasir di bawahnya.
“Kami tidak menentang pembangunan mahupun sebarang aktiviti yang boleh menjana ekonomi di kampung ini, namun biarlah dilakukan tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Ahmad Rizal yang mengambil upah memajak kebun durian penduduk lain di situ juga menambah persekitaran dan cuaca tidak menentu, turut mengakibatkan pokok durian semakin kurang berbuah sekali gus menjejaskan hasil jualannya.
“Seingat saya satu kebun durian di sini boleh menghasilkan antara 200 ke 300 biji namun sekarang hasilnya lebih kurang 100 biji sehari sebelum ia dijual pada harga RM35 sekilogram.
“Lima tahun lalu orang luar sehingga ke Singapura sanggup menghubungi kami untuk menempah durian tetapi kini tidak lagi berikutan stok tidak mencukupi…hanya cukup untuk makan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Wan Udani Wan Ahmad, 43, turut mengakui bimbang jika durian yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu pupus jika semua pihak tidak prihatin dalam melestarikannya.
“Difahamkan benih pokok durian di Kampung Jeram, Beserah ini pada awalnya dibawa dari Palembang, Indonesia sekitar tahun 1900 dan pokok durian pertama yang ditanam ialah durian hijau tok penghulu, kerana ditanam di tanah milik penghulu.
“Keunikan durian Beserah ialah ia bukan dari jenis klon dan tidak sesuai ditanam di lokasi lain, jika diamati dengan teliti buah durian di sini warnanya tidak begitu kuning tetapi memiliki rasa lazat yang sukar ditandingi,” katanya.
Seorang lagi penduduk Ahmad Fazrol Abdul Aziz, 35, berkata sesuatu perlu dilakukan bagi menghidupkan kembali tradisi dan amalan menyambut musim durian dalam kalangan penduduk.
Katanya, adalah sesuatu yang merugikan jika tradisi menunggu durian tidak diteruskan dan generasi muda tidak dapat merasai keseronokan mengutip durian gugur atau menikmati durian segar di ladang.
“Sebagaimana tuanya pokok durian di sini yang ada sesetengahnya mencecah usia lebih 100 tahun, setua itu jugalah tradisi bergotong-royong para penduduk apabila tibanya musim durian.
“Apa yang difikirkan ialah generasi muda mungkin tidak dapat menghayati erti muafakat dalam usaha menikmati hasil tanaman, selain itu amalan seperti ini yang menjadi pemangkin untuk mengerat tali silaturahim sesama anggota keluarga,” katanya. – BERNAMA