SETELAH lima bulan suaranya ‘menghilang’ dari frekuensi Hot FM, semalam bagaikan permulaan buku baru buat pelawak dan pengacara, Azizul Ammar Abu Hassan atau lebih dikenali sebagai Ammar.
Ammar kembali bertugas dalam segmen Jam Hot yang bersiaran pada pukul empat petang hingga lapan malam bersama Deen dan Issey.
Kemunculannya itu telah melengkapkan semula gelaran ‘jejaka DIA’ buat mereka bertiga yang sudah tergantung lima tahun lamanya.
Ammar telah digantung kerja selama lima bulan ekoran isu mempersendakan nama mendiang bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek dengan menyamakannya dengan haiwan.
Insiden itu terjadi dalam program Sukan Tak Sentral pada April lalu. Malah, Marsha yang juga terlibat dalam program tersebut tutut memohon maaf terhadap Watson dan keluarganya.
Pengacara yang berumur 30 tahun ini turut memuat naik satu gambar di laman Instagramnya menandakan dia membuat comeback untuk segmen itu.
Bahkan, Deen dan Issey turut memuat naik gambar yang sama ke dalam laman Instagram mereka.
Gambar tersebut turut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya gembira dengan kemunculan semula penyampai radio itu. Malah Instagramnya turut dibanjiri dengan ucapan tahniah dan selamat kembali daripada pengikutnya.
Terdahulu, Ammar dan juga enam kru penerbitan telah digantung tugas gara-gara isu mempersendakan nama ayah bekas pelari pecut, Watson Nyambek menerusi program Sukan Tak Sentral.
Dalam tempoh tersebut, pengacara program 3 Juara ini tidak putus semangat, malah kembali bangkit dan sibuk menguruskan proses pembukaan sebuah kafe kucing miliknya. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim