Wednesday, January 22, 2025

Creating liberating content

‘Polo Fashion’ Mengubah Hidup...

DILAHIRKAN di bandar raya New York pada 14 Oktober 1939, Ralph Lauren atau...

Terkilan Dituduh Menang Trofi...

BAWA pulang trofi bagi kategori Penyanyi MeleTOP, Lagu MeleTOP (Siapa Diriku), Drama MeleTOP...

Sultan Nazrin Titah Segera...

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar kerajaan segera...

Kipas Sebagai Makmum, Pelaku...

GEORGETOWN - Perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam ketika menunaikan solat jelas...

Atlet Para Malaysia Bersedia Untuk Pecahkan Rekod

ATLET para Malaysia berhasrat untuk bersinar dan memecahkan rekod dunia di laman sendiri pada temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Chef de Mission Malaysia untuk Sukan Para ASEAN, Datuk Subramaniam Raman Nair berkata skuad yang kini berkampung di Hotel Seri Pacific sehingga hari kejohanan bermula 17 September ini, telah membuat persiapan selepas Sukan Para ASEAN di Singapura pada 2015.

“Kami telah melakukan sehabis mungkin dan kini kami memberi tumpuan kepada menguatkan mental dan emosional atlet serta semangat berpasukan mereka.

“Kami berhasrat untuk memecahkan rekod dunia di sini. Saya percaya kami dapat melakukannya,” katanya pada sesi pertemuan antara atlet para dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di ibu negara hari ini.

Empat venue iaitu Bukit Jalil, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MiTEC), velodrome Nilai dan Sunway Mega Lanes dipilih sebagai venue untuk acara sukan itu dengan kemasukan adalah percuma.

Pelari pecut Paralimpik negara dan pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016, Muhamad Ridzuan Mohamad Puzi akan menjadi antara atlet bintang pada temasya sukan yang diadakan hingga 23 September itu.

Seramai 326 atlet negara akan mengambil bahagian dalam 16 acara sukan pada edisi ke-9 temasya itu.

Mengenai prestasi atlet, Rohani yakin mereka dapat mencapai tahap tertinggi mereka dan mengulangi kejayaan atlet Sukan SEA ke-29 yang lepas.


“Kita boleh melakukannya. Atlet kita telah bersinar di peringkat Olimpik dan saya percaya kita dapat mengulanginya di sini, malah lebih baik lagi,” katanya.

Rohani turut mengumumkan bahawa kementerian itu akan menamakan rumah untuk kanak-kanak istimewa di bawah bidang kementeriannya dengan nama mereka yang cemerlang dalam sukan.

“Pada masa ini, kami telah menamakan empat rumah dengan pemenang pingat Paralimpik Rio di empat negeri dan berharap dapat menamakan lebih banyak lagi rumah sempena nama atlet Sukan SEA yang memecahkan rekod dunia,” katanya.

Empat rumah kebajikan itu ialah Rumah Sinar Harapan Ridzuan Puzi, Jitra, Kedah; Rumah Kanak-Kanak Mini Siti Noor Radiah Ismail, Ulu Tiram, Johor; Rumah Kanak-Kanak Abdul Latif Romly, Arau, Perlis; dan Taman Sinar Harapan Ziyad Zulkefli di Cheras, Kuala Lumpur. – BERNAMA

Kategori