KANGAR — Lazimnya jika jumpa ular tersesat masuk rumah, pihak bomba atau pertahanan awam paling sibuk cari reptilia ini sebelum dibawa kepada pihak Perhilitan untuk dilepaskan ke hutan.
Namun lain pula ceritanya di Perlis apabila banjir di beberapa kawasan di negeri itu menyebabkan 20 ekor ular berbisa termasuk tedung selar terpaksa diselamatkan ekoran sangkar reptilia berkenaan habis ditenggelami air bah.
Enam staf Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat di sini terpaksa bertungkus lumus ketika hujan lebat bagi memindahkan reptilia liar terbabit ke lokasi selamat ekoran kawasan tersebut turut dinaiki air setinggi 0.5 meter.
“Ada kawasan dalam taman ini yang menyaksikan air banjir naik mencecah setinggi paras paha, ada pula setinggi paras dada,” kata seorang kakitangan, Mohd. Hafiz Alias, 27, seperti dilaporkan oleh Harian Metro.
Beliau menjelaskan bahawa empat staf lelaki dan dua wanita tidak sukar ditugaskan untuk operasi pemindahan ular pelbagai spesies kerana mereka memang lama dilatih malah “sudah biasa bermain” dengan reptilia tersebut.
“Walaupun kami dengan ular di sini ibarat saling mengenali, kami masih lagi berhati-hati dalam menjalankan tugas,” katanya. Mohd Hafiz berkata proses pemindahan dibuat antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari semalam.
Ini juga bukan pertama kali kerana mereka pernah melakukannya ketika banjir dua tahun lalu. Kisah keberanian staf ini disiarkan menerusi Facebook oleh seorang netizen yang dikenali sebagai Hafiz Kingsnake petang semalam.
Foto eksklusif itu memaparkan petugas taman tersebut gigih memindahkan ular sambil tekun mengharung banjir menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial tempatan setelah dimuat naik. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA