YANGON – Perkhidmatan televisyen BBC berbahasa Myanmar pada Isnin mengumumkan pembatalan kontrak penyiaran dengan sebuah stesyen TV tempatan ekoran isu ‘penapisan’ membabitkan liputan ke atas minoriti Rohingnya beragama Islam di negara itu.
Pengumuman itu adalah tamparan terbaru untuk memperjuangkan kebebasan media di Myanmar dan perubahan mengejutkan untuk sebuah organisasi berita yang terkenal dengan laporan terkini mengenai pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi ketika beliau diletakkan di bawah tahanan rumah oleh pemerintahan junta.
Sejak April 2014, BBC berbahasa Myanmar itu menyiarkan laporan berita harian di MNTV dengan 3.7 juta penonton sehari.
Pada Isnin, BBC berkata, ia menamatkan perjanjian itu selepas MNTV menapis atau membatalkan beberapa programnya sejak Mac lalu.
“BBC tidak boleh menerima campur tangan atau penapisan program BBC oleh penyiar TV usaha sama itu kerana melanggar kepercayaan antara BBC dan penontonnya,” lapor laman web BBC bahasa Burma itu.
Kenyataan BBC tidak memperincikan kandungan yang ditapis dan MNTV juga tidak memberi sebarang respons.
Tetapi, seorang pegawai di saluran televisyen tempatan itu berkata, mereka membantah tindakan BBC menggunakan perkataan “Rohingya” dalam laporan mereka.
“Sebab itu kami tidak boleh menyiarkan program mereka,” kata pekerja itu yang tidak mahu dinamakan.
Rohingya ialah minoriti Islam tidak mempunyai taraf kewarganegaraan di barat Myanmar, Rakhine yang berdepan penindasan teruk kerajaan sehingga menyebabkan ramai terpaksa melarikan diri beberapa tahun kebelakangan ini.
Kebanyakan media antarabangsa menggelar mereka Rohingya kerana etnik itu mengenali diri dengan nama itu sejak sekian lama.
Tetapi, kerajaan Myanmar dan kebanyakan media tempatan menggelar mereka Bengali, menggambarkan mereka pendatang haram dari Bangladesh, meskipun ramai yang tinggal di negara itu selama beberapa generasi.
Mereka menaruh harapan tinggi agar kerajaan baru dengan ikon demokrasi, Suu Kyi akan membawa Myanmar ke era kebebasan bersuara, selepas berkuasa tahun lalu setelah setengah abad di bawah pemerintahan junta.
Sejak menang dengan majoriti besar pada pilihan raya, kerajaan pimpinan orang awam itu sering bertelagah dengan media mengenai liputan mereka.
Pendakwaan di mahkamah membabitkan kes fitnah juga melonjak dengan menyasarkan penulis satira di media sosial, aktivis dan wartawan.
Satu daripada punca utama pertelagahan dengan media asing ialah liputan di Rakhine yang kini di bawah serangan tentera kerajaan, sejak sekumpulan kecil militan Rohingya menyerang pos sempadan polis Oktober lalu.
Puluhan ribu Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, manakala pelarian Buddha dalam kumpulan lebih kecil menuju ke arah bertentangan.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) percaya tindak balas tentera terhadap serangan militan di Rakhine mungkin mencetuskan untuk pembersihan etnik Rohingya.
Kerajaan Suu Kyi menafikan laporan kekejaman itu dan menolak visa pegawai PBB yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Mereka kerap mengutuk liputan media antarabangsa dan menghalang akses wartawan ke wilayah konflik itu. – AFP