SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan masih menjalankan siasatan akan punca kebakaran tingkat atas bangunan Pasar Besar Seremban, kata Pengarahnya Norazam Khamis.
Beliau berkata hari ini lima pegawai forensik serta tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Semalam kita sudah memanggil unit K9 (Unit Anjing Pengesan) Bomba untuk mengenal pasti bahan-bahan yang boleh dijadikan sampel untuk membantu siasatan.
Unit tersebut telah menjalankan operasi selama empat jam,” katanya kepada pemberita ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Sampel terbabit telah dihantar ke makmal untuk dianalisis, katanya.
Kebakaran pada 7.30 malam Sabtu lepas itu melibatkan hampir sebahagian daripada 197 kedai termasuk 99 kedai makan.
Pasar berusia 38 tahun itu merupakan ikon bandar Seremban. – BERNAMA