SUNGAI PETANI – Bumbung empat buah rumah di Lebuh Delima 1, Taman Delima dekat sini, rosak selepas dilanda ribut dalam kejadian kira-kira 2.30 petang hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira 2.40 petang dan tiba di lokasi 18 minit kemudian.
“Keadaan cuaca ketika kejadian tiada hujan, sebaliknya tiupan angin kencang yang menyebabkan bumbung empat buah rumah di taman terbabit rosak.
“Terdapat sebanyak 13 mangsa yang terlibat termasuk seorang wanita warga emas dan seorang bayi perempuan, bagaimanapun tiada kecederaan yang dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sembilan anggota APM yang bergegas ke lokasi kejadian membantu mangsa membersihkan atap asbestos yang pecah bertaburan di bumbung dan lantai rumah masing-masing. – BERNAMA