BANGI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mencari penyelesaian untuk membolehkan pengundi berdaftar yang bekerja dalam bidang kritikal dan tidak dapat mengundi kerana tuntutan kerja dapat berbuat demikian.
Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata pihaknya akan bertemu dengan wakil daripada beberapa agensi seperti Kementerian Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat minggu depan berhubung perkara tersebut.
Antara profesion yang tidak dapat meninggalkan tempat kerja pada hari mengundi ialah doktor dan jururawat yang bertugas di unit rawatan rapi hospital, pemandu ambulans serta petugas di penjara, katanya.
“SPR ingin memastikan semua warganegara Malaysia yang sudah mendaftar sebagai pengundi mendapat keadilan untuk mengundi pada hari mengundi,” katanya kepada pemberita selepas program Pendidikan Pengundi dalam Urusan Pilihan Raya bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) di IPG Kampus Pendidikan Islam di sini hari ini.
Mengenai persiapan pilihan raya umum (PRU) ke-14, Mohd Hashim berkata persiapan SPR dari segi fasiliti dan logistik kini pada tahap baik dan turut menyediakan pelan luar jangka sekiranya berlaku banjir.
“SPR cuma menunggu masa PRU-14 sahaja. Ada negeri yang sudah siap 96 peratus ada yang 85 peratus,” katanya.
Beliau berkata penggal parlimen yang dipilih menerusi PRU-13 akan tamat pada 24 Jun 2018 dan parlimen akan terbubar dengan sendiri jika ia tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.
Sehingga suku kedua 2017, seramai 14.6 juta warga Malaysia telah mendaftar sebagai pemilih, katanya.
Mohd Hashim berkata sejak Program Pendidikan Pengundi secara intensif dimulakan pada Februari lalu, seramai 25,000 peserta telah terlibat dan 2,445 pemilih baharu berjaya didaftarkan.
Bagi program dalam kalangan warga IPG, beliau berkata SPR menyasarkan penyertaan 9,000 bakal pendidik di seluruh negara dan program tersebut sudah dilaksanakan di enam buah IPG.
“Perlu bagi setiap guru dan bakal guru mendapat kefahaman serta penjelasan yang tepat berkaitan sistem pilihan raya negara supaya proses penyampaian ilmu berkaitan aspek pilihan raya dalam modul kenegaraan dapat disampaikan kepada pelajar secara tepat,” katanya. – BERNAMA