MIAMI – Caribbean kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan perintah darurat, menjelang ketibaan taufan Irma yang membawa angin dengan kelajuan 215 kilometer sejam.
Pusat Taufan Kebangsaan turut mengeluarkan amaran kelajuan angin akibat taufan Irma diramalkan meningkat dalam tempoh 48 jam akan datang.
“Mengikut ramalan, Irma dijangka bergerak menuju ke utara Kepulauan Leeward menjelang malam Selasa dan awal pagi Rabu ini,” kata Pusat Taufan Kebangsaan.
Sebelum ini, Gabenor Florida mengumumkan perintah darurat selepas taufan Irma diletakkan dalam kategori bahaya tahap empat.
Ribut kategori empat mengikut skala Saffir Simpson, mampu menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan dan infrastruktur, termasuk menerbangkan atap, memecahkan tingkap dan membunuh manusia.
Taufan Harvey yang baru-baru ini memusnahkan sebahagian Texas dan Louisiana juga dilaporkan mempunyai kekuatan pada tahap empat.
Sementara itu, di Puerto Rico, Gabenor Ricardo Rossello sudah mengerah pengawal kebangsaan untuk membantu penduduk dan mengarahkan supaya pusat perlindungan yang mampu menempatkan 62,000 mangsa dibuka.
Rossello turut mengumumkan sekolah akan ditutup hari ini. – Reuters/AFP