MAKKAH – Ramai pernah melihatnya. Namun tidak ramai tahu perinciannya. Itulah kain kiswah atau kain penutup Kaabah yang dibuat dari sutera dan kapas, disulami ayat-ayat Quran.
Tahukah anda, kain kiswah sebenarnya seluas 658 meter persegi! (Atau satu setengah kali padang bola keranjang). Kainnya pula diperbuat dari sutera dan seberat 670 kilogram.
Ia cukup untuk menutupi struktur setinggi kira-kira 15 meter dan hingga 40 kaki panjang. Kain sutera tersebut diimport dari Itali. Secara terperinci, 47 helai kain digunakan untuk membuat kiswah’
Setiap helai berukuran 14 meter panjang kali 105 sentimeter lebar. Sulamannya pula menggunakan benang-benang emas dan perak yang seberat 150 kilogram. Benang-benang perak dan emas itu diimport dari Jerman.
Namun, kiswah dijahit dan disulam di Arab Saudi dan dibayar sebanyak AS$6 juta (kira-kira RM25 juta) oleh kerajaan negara Asia Barat itu setiap tahun.
Apabila ditanya tetang belanja yang dikeluarkan pada masa ekonomi tidak menentu sekarang, Pengurus Besar, Mohammad bin Abdullah Bajuda berkata: “(Kiswah) ini untuk rumah Allah. Kaabah sememangnya layak.”
Puluhan pekerja di Arab Saudi, yang kebanyakannya dalam usia 40-an dan 50-an, sedang gigih bertukang di sebuah kilang yang terletak di daerah Oum al-Jood, di sini untuk menyiapkan kiswah, lengkap dengan sulaman emas.
Kiswa baharu dibuat setiap tahun untuk hiasi Kaabah semasa musim haji. Ramai pekerja kilang ini sudah bertukang sepanjang hayat dan mereka akan bersara tidak lama lagi, maka generasi baru sedang dilatih untuk meneruskannya.
Mohammad berkata Raja Salman mengarahkan supaya semua mesin, yang diperkenalkan sekitar 30 tahun lalu agar proses penyiapan kiswah itu lebih automatik, bakal digantikan dengan yang baharu menjelang tahun depan.
“Beliau juga menggesa supaya para pengilang baru tampil menggantikan yang sekarang,” kata Mohammad semasa lawatan media asing ke kilang tersebut baru-baru ini.
Kiswah dibuat di Mesir sehingga tahun 1962. Dahulu, terdapat kiswah berwarna merah, hijau atau putih, namun sekarang hanya warna hitam dengan sulaman emas digunakan.
Waleed al-Juhani sudah bertukang di kilang tersebut, yang dibuka pada tahun 1977, selama 17 tahun. Kerja untuk sebuah kiswah sehingga sempurna lazim mengambil masa sehingga lapan bulan disiapkan.
“Alhamdulillah kami bekerja dan berkhidmat untuk Kaabah. Ini satu rahmat yang besar,” kata beliau, sambil menyulam ayat-ayat Quran.
“Apabila kami berjaya menjalankan tugas, kami gembira umat Islam akan meraikan kiswah baru untuk Kaabah. Ia perasaan yang begitu indah.”
Pada akhir musim haji, kiswah yang sudah digunakan digunting dan cebisannya diagihkan kepada orang kenamaan dan pertubuhan-pertubuhan agama. Para penerima menganggap cebisan kiswah itu sebagai harta pusaka.
Kiswah tahun ini sudahpun siap namun para pekerja tidak berhenti di situ dan sudah mula bekerja menyiapkan kiswah seterusnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA