KUANTAN – Seorang pengusaha kebun haram di Cameron Highlands dijatuhi hukuman penjara selama sehari dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi dan menawarkan rasuah bernilai RM2,000 kepada pegawai penguatkuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), dua tahun lepas.
Tertuduh Chin Peng, 49 dijatuhkan hukuman itu setelah mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof
Mengikut kertas pertuduhan, Chin Peng yang merupakan pengusaha kebun bunga didakwa telah menawarkan rasuah wang tunai sebanyak RM2,00 terhadap pegawai MKN Sanifah Yusof sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan pembersihan terhadap kebun yang diusahakannya secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Ringlet, Cameron Higlands.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Vintage Tea Lounge Hotel Heritage, Tanah Rata, Cameron Highlands pada 9.15 pagi, 10 April 2015.
Ia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 ( Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.
Peguam Simon Evanson yang mewakili Chin Peng kemudian merayu kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman ringan terhadap anak guammnya memandangkan dia telah menjimat masa dan kos perbicaraan mahkamah dengan membuat pengakuan bersalah.
“Selain kesal dengan perbuatan yang dilakukannya, tertuduh juga sebenarnya telah mengemukakan permohonan bertulis sebanyak tiga kali kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan lesen sementara iaitu pada 1997, 2002 dan 2012, namun tiada maklum balas menyebabkan dia melakukan penerokaan secara haram itu,”katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Badan Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Fadly Mohd Zamry meminta supaya mengenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Mahkamah kemudian mengenakan hukuman penjara selama sehari dan RM10,000 denda kepada tertuduh atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda tersebut. Tertuduh kemudian membayar denda yang dikenakan itu.
Sementara itu tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan direman selama tujuh hari sehingga 20 Sept ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima dan meminta rasuah sebanyak RM3,000 untuk tidak mengenakan tindakan terhadap seorang individu yang dipercayai memiliki dadah.
Kesemua suspek yang berumur 30-an ditahan di IPD Kuantan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) dan 16 (a) (B) Akta SPRM (2009).
Perintah tahanan remah dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman setelah mendengar permohohan yang dikemukakan oleh Pegawai Penguasa SPRM Renifezri Mohamad. -BERNAMA