BANGKOK – Thailand perlu bertindak tegas dan segera menjalankan kajian tentang kemungkinan membina Terusan Thai (Terusan Kra) yang sekian lama ditunggu, demikian cadangan beberapa orang pakar China di persidangan antarabangsa sehari mengenai terusan itu di sini hari ini.
Menurut mereka negara Asia Tenggara itu akan mendapat manfaat besar daripada pembinaan terusan sepanjang 100km itu yang akan menembusi Segenting Kra di Songkla/Satun di selatan Thailand dan menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik.
Terusan itu, bila dibina akan membolehkan kapal-kapal mengelak melalui Selat Melaka dengan itu menjimatkan perjalanan 1200km atau kira-kira tiga hari pelayaran.
“Oleh kerana pembangunan Terusan Segenting Kra begitu penting bagi Thailand, kajian kebolehlaksanaan perlu dijalankan secepat mungkin,” kata Prof Zhou Dawei dari Peking University.
Beliau berkata, terusan itu akan membuka koridor laut yang hebat dalam sejarah manusia, seperti Terusan Suez dan Terusan Panama, yang akan menghubungkan rangkaian saluran maritim antarabangsa.
Terusan itu akan menjadikan Thailand hab penangkutan utama dunia, kata pakar itu dan menyatakan terusan tersebut juga selaras dengan inisiatif “Satu Jalur Satu Laluan” (OBOR), dalam usaha menghidupkan kembali laluan perdagangan lampau yang menghubungkan Asia, Afrika and Eropah.
Dawei menggesa Thailand mempromosi terusan itu sebagai projek kerjasama antarabangsa “oleh kerana jelas ia boleh menyiapkannya bersendirian”.
Sementara itu, seorang lagi pakar China, Prof Jingsong Song dari Shanghai Jiao Tong University berkata, kini tiba masanya bagi Thailand memulakan pembinaan terusan itu dengan bantuan kewangan dan teknologi Beijing.
Beliau berkata, jika Bangkok menangguhkan projek itu ia mungkin tidak mendapat bantuan China.
Song berkata terusan itu tidak sahaja membantu menjayakan cita-cita ekonomi Thailand tetapi juga Asia, Asean dan dunia.
Pakar itu berpendapat terusan berkenaan tidak memberi saingan kepada Selat Melaka, oleh kerana selat tersebut akan kekal dengan tujuan utamanya menampung kapal-kapal yang lebih besar seperti kapal pembawa minyak mentah (VLCC).
Pengerusi Thai Canal Association of Study and Development Jen Pongthep Tesprateep dalam ucapan pembukaan berharap persidangan hari ini akan menjadi pemangkin kepada kerajaan Thai untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kebangsaan bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan itu. – BERNAMA